Satu kaji selidik pengikut laman Facebook Cikgu Saham telah diadakan baru-baru ini. Dalam kaji selidik tersebut, beberapa soalan telah diajukan kepada pedagang saham yang dipilih secara rambang. Satu daripada soalan yang diajukan ialah apakah yang membuatkan mereka mengalami kerugian saham?

Jawapan yang diberikan ialah pada asalnya mereka te­lah meraih keuntungan, tetapi tidak menjualnya kerana menjangkakan harga naik lagi. Malangnya saham yang telah naik itu tiba-tiba mengalami penurunan harga sehinggakan menjadi lebih rendah daripada harga beli.

Satu kes dalam kaji selidik yang mana seorang pedagang saham telah meraih keuntungan sebanyak seribu lebih tetapi apabila harga jatuh lebih rendah daripada harga beli, dia terus menjualnya kerana takut harga akan jatuh lebih banyak. Akibatnya, pedagang saham tersebut telah mengalami kerugian.

Apabila kajian lebih lanjut dibuat, kebanyakan yang me­­ng­alami keadaan seperti ini ialah mereka tidak pernah mendapatkan pembelajaran saham secara formal atau tidak pernah mengikuti mana-mana kursus pendidikan saham. Mereka membuat jual beli sendiri berdasarkan gerak hati atau mengikut naluri dan pe­rasaan.

Mereka juga membeli dan menjual saham tanpa menggunakan khidmat dealer dan remisier kerana tidak mahu dikenakan caj pembrokeran yang sememangnya sangat rendah. Maka sudah tentu mereka tidak mendapat khidmat nasihat dan bimbingan profesional dalam keadaan ini.

Tindakan dan keputusan dalam membeli dan menjual saham dilakukan sepanjang ma­sa tanpa bantuan dealer dan remisier walaupun mereka meru­pakan pelabur dan pedagang baharu.

Keadaan ini sangat membimbangkan kerana daripada kaji selidik yang dijalankan, angka kerugian tersebut bukanlah satu jumlah yang kecil. Ada kerugian yang mencecah hingga lima angka.

Dan kerugian tersebut dialami kurang dari satu tahun mereka melibatkan diri dalam urus niaga saham.

Seperti diketahui umum, pasaran saham telah mengalami kejatuhan selama tiga tahun berturut-turut dan hanya pada awal tahun ini pasaran me­ngalami kenaikan selama beberapa bulan pertama di awal tahun.

Dan pada September tahun ini, indeks pasaran telah mengalami aliran menurun sehingga minggu pertama bulan Disember.

Maka kita boleh menjangkakan pelabur dan pedagang saham baharu yang tidak mempunyai ilmu pelaburan dan perdagangan saham mudah terperangkap di dalam arus perubahan pasaran. Dan ini telah terbukti daripada kaji selidik yang dibuat baru-baru ini.

Bagi membetulkan kesilapan pelabur dan pedagang saham ini, Cikgu Saham telah membentuk satu badan khas melalui khidmat nasihat serta membantu untuk membaik pulih portfolio pelaburan mereka.

Di dalam proses untuk memulihkan portfolio mereka, garis panduan dan tunjuk ajar diberikan kepada mereka dan segala urus niaga beli dan jual saham yang dilakukan akan dipantau.

Cikgu Saham akan memastikan mereka menjual pegangan saham yang dibeli sebagai satu strategi dan langkah permulaan untuk melatih diri meraih keuntungan secara berterusan memandangkan kebanyakan mereka merupakan pedagang saham jangka pendek.

Selain daripada menggalakkan mereka menjual pegangan saham yang telah untung, Cikgu Saham juga memberi khid­mat nasihat tentang strategi membeli saham yang lebih berkesan serta bagaimana untuk memaksimumkan keuntungan.

Kebanyakan pelabur dan pedagang saham membeli terlalu banyak saham syarikat tersenarai tetapi dalam unit saham yang kecil. Sebagai contoh, mereka membeli lebih daripada lima saham syarikat tersenarai tetapi kesemua­nya dalam jumlah unit yang kecil.

Apabila mereka membeli di dalam jumlah unit yang kecil, mereka sukar menjualnya kera­na harga bergerak naik sedikit berbanding jika mereka membeli di dalam unit yang lebih besar.

Sebagai pelabur dan pedagang baharu adalah lebih baik sekiranya sebagai permulaan, anda digalakkan membeli saham tidak lebih daripada tiga syarikat.

Sekiranya membeli terlalu banyak saham syarikat tersenarai dalam satu-satu masa, ditakuti anda tidak mempunyai waktu untuk memantau portfolio anda.

Dan sekiranya pasaran tiba-tiba jatuh, kebarangkalian ke­semua pegangan yang ada di dalam portfolio pelaburan anda juga turut jatuh. Sudah tentu ini akan mengakibatkan kerugian yang besar berbanding jika pegangan anda hanya dua atau tiga saham syarikat tersenarai sahaja.

Kepada yang ingin mempelajari pelaburan saham boleh mendaftar di https://tinyurl.com/investrade2018