Datuk Bandar Davao City, Sara Duterte-Caprio

Media Malaysia yang berada di sana selama tiga hari juga tidak terlepas melalui kawalan keselamatan yang cukup ketat merangkumi segenap aspek sama ada pemeriksaan di lapangan terbang, pintu masuk hotel, pusat beli-belah dan dewan persida­ngan.

Malah, anggota polis dapat dilihat di merata-rata tempat dan ada sesetengahnya pula bertugas bersama anjing pengesan.

Kawalan tersebut yang pada mulanya berkuat kuasa dalam tempoh 60 hari kini telah dilanjutkan sehingga hujung tahun ini. Langkah ini membolehkan kawalan keselamatan terus dipertingkatkan di Mindanao.

Wilayah Davao secara umum­nya merangkumi Davao City, Davao Del Sur, Davao del Norte, Lembah Compostella, Davao Occidental dan Davao Oriental dengan jumlah penduduk lebih enam juta orang. Tahun lalu, wilayah ini mencatat kadar Pertumbuhan Kasar Domestik Serantau pada 9.4 peratus.

Datuk Bandar Davao City, Sara Duterte-Caprio dalam sidang akhbar kelmarin menegaskan, undang-undang tentera yang berkuat kuasa itu adalah berbeza jika dibandingkan pada 1972 dan memberi jaminan dengan kawalan keselamatan dipertingkatkan dari semasa ke semasa itu akan menjadi antara faktor tarikan kepada pelabur luar.

Bahkan, Sara yang juga anak Presiden Filipina, Rodrigo Roa Duterte, turut mengalu-alukan pelabur luar ke Davao City sejajar dengan hasrat untuk muncul hab kewangan, pelancongan, perkhidmatan dan pendidikan di Mindanao.

“Saya yakin penerbangan secara terus antara Kuala Lumpur dan Davao ini akan membuka lebih banyak peluang kepada pelabur untuk datang ke wilayah ini.

“Apatah lagi Davao merupakan kampung halaman presiden dan kami amat optimis untuk membina lebih banyak jaringan perniagaan.

“Dalam masa sama, de­ngan kawalan keselamatan ini juga secara tidak langsung akan menjadikan aktiviti perniagaan dijalankan dalam suasana lebih aman,” katanya selepas me­nyampaikan ucap tama pada Persidangan Pelaburan Davao 2017 (ICON 2017) di sini kelmarin.

Davao, merupakan penerba­ngan laluan terus yang keempat ditawarkan syarikat penerba­ngan tambang murah AirAsia di Filipina selepas Manila, Cebu dan Kalibo.

AirAsia memulakan operasi di Filipina lima tahun lalu dan dalam tempoh 2015 hingga 2016 telah menerbangkan 577,536 penumpang yang menghubungkan mereka dengan bandar-bandar utama di Filipina termasuk Clark, Caticlan, Tacloban, Palawan dan Tagbilaran. – Utusan