Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dasar itu semakin popular adalah disebabkan beberapa negara yang mahu melindungi kepen­tingan nasional masing-masing, tetapi percaya ia boleh dikurangkan jika integrasi perdagangan yang dibentuk berpihak kepada semua negara.

Beliau tidak menafikan wujudnya dasar sedemikian dalam kalangan negara-negara ASEAN ketika mahu menjayakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Namun katanya, hal itu berlaku kerana tahap pertumbuhan ekonomi negara-negara di rantau ini adalah berbeza yang menyebabkan ada negara mengamalkan perlindungan, tetapi melihat amalan itu akan berkurangan secara berperingkat.

“Memang dasar ini popular dan merupakan fenomena global pada masa ini. Ia dibuktikan lagi melalui tindakan United Kingdom (UK) keluar daripada Ke­satuan Eropah (EU) dan wujudnya beberapa gerakan antiglobalisasi.

“Diharapkan ia bersifat sementara. Oleh kerana itu penting untuk mewujudkan integrasi ekonomi yang baik dan dapat dinikmati oleh semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Ekonomi ASEAN yang dianjurkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Mustapa juga berkata, dasar perlindungan itu juga dilihat menjadi antara kandungan sepanjang kempen pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika ini. Namun Malaysia sebagai negara perdagangan masih percaya ke­terbukaan perdagangan penting untuk meningkatkan pertumbuh­an ekonomi.

Selain AEC, beliau juga tidak menolak dasar perlindungan dan tiadanya kesepakatan menjadi penghalang yang melambatkan proses pembentukan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Mustapa bagaimanapun berkata, sehingga bulan ini sebanyak 93.9 peratus ukuran-ukuran halangan perdagangan bukan tarif tertumpu di AEC telah berjaya dihapuskan. Tetapi beberapa lagi halangan dijangka tidak dapat dihapuskan dalam tahun ini antaranya pengiktirafan bersama produk automotif dan pembinaan serta perkhidmatan.

Dalam isu lain, beliau berharap orang ramai tidak terpengaruh dengan kenyataan-kenya­taan ne­gatif yang menggambarkan kea­daan ekonomi Malaysia. Ini kerana cabaran dalam ekonomi sentiasa berlaku dan ada masa­nya memberi kesan kepada negara ini.

“Kita bukan mahu menafikan semua perkara. Malaysia masih mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik dan setiap negara akan menghadapi kesan ketidaktentuan ekonomi,” katanya.