Mengapa anda ke hospital dan tidak cuba berubat sendiri? Jawapan untuk soalan yang kelakar ini ialah kerana di hospital mereka mempunyai doktor pakar dan peralatan yang mencukupi untuk membantu anda kembali sihat seperti sedia kala.

Pada waktu yang amat kritikal sebegini, wang merupakan perkara kedua. Kesihatan jauh lebih penting daripada wang dan anda sanggup mengeluarkan seberapa banyak pun semata-mata untuk sihat. Pada ketika itu juga terbayang wajah-wajah insan tersayang dalam fikiran anda.

Saya amat pelik apabila syarikat-syarikat yang berada dalam kategori industri kecil dan sederhana atau IKS ini amat jarang mahu mendapatkan nasihat pakar ketika syarikat bermasalah.

Dalam dunia perniagaan, masalah di sini merujuk kepada masalah kewangan. Dan masalah kewangan ini wujud kerana kekurangan jualan untuk menampung kos tetap dan operasi syarikat.

Mereka kekurangan jualan kerana tiga sebab:

1. Pasaran yang ada sudah tepu dan mereka tidak tahu bagaimana untuk mencari pasaran baharu.

2. Mereka tidak mampu untuk menembusi pasaran yang ada. Kurangnya kemahiran dalam merancang strategi pemasaran dan gagal melaksanakan strategi pemasaran yang dibuat adalah faktor utama.

3. Strategi pemasaran mereka tidak dilakukan untuk jangka masa panjang. Syarikat tidak memahami apa yang pasaran mahukan yang sering berubah-ubah.

Sebagai individu anda tidak memerlukan doktor pakar setiap hari. Yang penting, kita menjalani kehidupan kita dengan betul, mengamalkan aktiviti dan pemakanan yang sihat agar sentiasa sihat.

Apabila sakit dan dirujuk pakar, mereka akan memberitahu anda punca-punca mengapa anda sakit. Di sini anda boleh tahu dan kenal pasti di mana kesilapan anda dan tidak mengulangi kesilapan tadi.

Seperti individu, syarikat juga tidak memerlukan pakar pemasaran setiap hari. Apabila syarikat anda sakit dan segera mendapatkan pendapat pakar, kebarangkalian syarikat anda untuk terus hidup dan berkembang pesat masih tinggi.

Mereka akan membuat diagnosis tentang masalah tadi dengan lebih terperinci, kemudiannya menyediakan senarai masalah-masalah yang anda sedang hadapi dan apakah langkah-langkah yang perlu anda ambil.

Dengan jawapan ini anda boleh membuat keputusan de­­ngan lebih baik, berkualiti dan tepat. Penyakit tadi boleh dirawat dengan segera agar tidak merebak.

Bayangkan anda tidak membuat keputusan untuk mendapatkan perspektif luar terutamanya daripada pakar tentang masalah anda. Anda terlalu takut dengan harga yang perlu dibayar semata-mata untuk menyelamatkan syarikat anda.

Jadi anda cuba untuk merawat sendiri penyakit syarikat yang semakin kronik itu, mendapatkan pendapat kawan-kawan ataupun mendapatkan kepakaran budak-budak yang baharu ‘cuba-cuba’ dalam pemasaran kerana harga mereka yang murah.

Apa bezanya nasihat pakar dengan nasihat daripada generalist, iaitu individu yang macam pakar bukan pakar? Bagi saya, terlalu jauh bezanya. Yang paling nyata sekali ialah kualiti nasihat yang diberikan.

Pakar akan memberikan nasihat yang lebih mendalam: mengapa ini berlaku, bagaimana ini berlaku, apakah yang akan berlaku selepas ini, daripada mana punca dan sebagainya tentang satu-satu subjek.

Mereka belajar tentang subjek tersebut dengan mendalam secara teori, praktikal dan berpengalaman jauh. Nasihat yang diberikan akan lebih jujur dan tidak sama sekali akan memberikan harapan palsu. Semuanya akan berdasarkan fakta. Kepakaran mereka hanya tertumpu pada satu subjek sahaja dan jarang lebih.

Bagi individu yang dikenali sebagai generalist pula, mereka mempunyai tahap kepakaran yang hampir sama dengan pakar tadi pada peringkat teori sahaja.

Biasanya mereka mempunyai konsep pemikiran mereka sendiri tentang sesuatu subjek seperti pemasaran contohnya, tetapi selepas itu mereka akan merujuk kepada Google tentang bagaimana untuk melakukan konsep yang mereka ceritakan tadi kepada pelanggan mereka sekiranya ditanya dengan lebih mendalam.

Kualiti nasihat mereka cuma berdasarkan pembacaan. Contoh-contoh yang diberikan adalah berdasarkan pendapat sahaja dan tidak lebih daripada itu.

Di Malaysia, syarikat-syarikat IKS amat jarang mahu mendapatkan nasihat daripada yang betul-betul pakar tidak kira sama ada ia pemasaran ataupun lain-lain.

Harga merupakan faktor penghalang utama. Dan anda boleh bayangkan sendiri sebuah syarikat yang tengah tenat dan tidak dirujuk pakar, apa yang akan berlaku selepas itu.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital. Ikuti blog beliau di facebook.com/azleenabdrahim