Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, eksport meningkat kepada RM914.67 bilion, peningkatan sebanyak 6.9 peratus, manakala import berkembang 5.3 peratus kepada RM805.12 bilion dalam tempoh tersebut.

Ujarnya, lebihan dagangan bagi tempoh tersebut menca­tatkan peningkatan dua digit sebanyak 20.2 peratus kepada RM109.55 bilion.

“Bagaimanapun jumlah dagangan Malaysia bagi bulan November merosot 8.2 peratus atau RM14.4 bilion berban­ding bulan sebelumnya kepada RM162 bilion.

“Berasaskan tahun ke tahun, eksport meningkat RM1.3 bi­lion atau 1.6 peratus kepada RM84.8 bilion disumbangkan oleh produk-produk utama antaranya keluaran petroleum bertapis sebanyak RM6.5 bi­lion, gas asli cecair (RM4.6 bilion) dan petroleum mentah (RM2.9 bilion),” katanya dalam Laporan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri November 2018 di sini hari ini.

Pertumbuhan eksport diso­kong oleh peningkatan eksport ke Taiwan iaitu sebanyak RM1.1 bilion, Vietnam (RM938.5 juta), Hong Kong (RM876.8 juta), Singapura (RM872.2 juta) dan China (RM435.3 juta), manakala, kenaikan import yang tinggi adalah dari Kesatuan Eropah (RM773.3 juta), Arab Saudi (RM581.8 juta), Korea Selatan (RM456.8 juta), Persekutuan Rusia (RM411.4 juta) dan Taiwan (RM409.4 juta).

Mohd. Uzir berkata, import mencatatkan peningkatan lima peratus tahun ke tahun kepada RM77.2 bilion terutamanya disumbangkan oleh barangan penggunaan dan barangan modal.

Menurut beliau, import barangan penggunaan yang menyumbang 8.6 peratus daripada jumlah import, merekodkan kenaikan sebanyak RM59 juta kepada RM6.6 bilion. Peningkatan ini terutamanya disebabkan oleh barangan tahan lama (RM163.1 juta), barangan tidak tahan lama (RM122.7 juta) serta makanan dan minuman dipro­ses khusus untuk kegunaan isi rumah (RM52.2 juta).

Katanya, import barangan modal yang mencakupi 13.6 pe­ratus daripada jumlah import, menokok RM39.6 juta atau 0.4 peratus kepada RM10.5 bilion disebabkan oleh pertumbuhan dalam kelengkapan pengangkutan dan perindustrian.