Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Jeddah, Yusram Yusup menggalakkan syarikat Malaysia untuk meneroka pasaran Jeddah dan mewujudkan hubungan perniagaan dengan syarikat-syarikat di sana.

“Banyak yang perlu dilakukan untuk meningkat dan memperdalam hubungan perdagangan antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Kita perlu menggalak lebih banyak kerjasama perdagangan dan pelaburan di kalangan komuniti perniagaan di kedua-dua negara yang membuka peluang kepada syarikat Malaysia dalam sektor berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan selepas bertemu Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Riyadh, Abdulrahman Ali Al-Jeraisi dan Pengerusi Dewan Perniagaan Dewan Wilayah Timur (Dewan Asharqia), Abdul Hakim Hamad Al-Ammar Al-Khalidi.

Pada masa ini, Arab Saudi merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Timur Tengah dengan jumlah perdagangan RM15 bilion tahun lepas.
Bagi enam bulan pertama 2018, perdagangan Malaysia dengan negara tersebut meningkat kepada RM9.57 bilion berbanding RM7.6 bilion pada separuh 2017. – BERNAMA