Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, nilai dagangan Malaysia dan negara-negara Amerika Latin pada lima bulan pertama 2017 adalah AS$5.4 bilion (RM23.12 bilion)

Katanya, antara negara Amerika Latin termasuk Argentina, Brazil, Chile, Colombia, Cuba, Ecuador, Mexico, Peru, Uruguay dan Venezuela.

Jelas beliau, kelembapan ekonomi global tidak memberi kesan negatif ke atas perdagangan Malaysia dengan Amerika Latin ke­rana perdagangan negara, ter­utamanya eksport terus mencatatkan pertumbuhan kukuh.

“MITI juga mahu memperbanyakkan jumlah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menembusi pasaran Amerika Latin menerusi pelbagai program dan geran disediakan.

“Ketika ini, ha­nya 10 PKS telah berjaya memasuki rantau yang menawarkan peluang perniagaan lebih luas,” katanya kepada pemberita se­lepas majlis perasmian Hari Perniagaan Amerika Latin di sini hari ini.

Hari Perniagaan Ame­rika La­tin anjuran bersama MITI, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan kedutaan negara-negara Amerika Latin.

Acara itu bertujuan mengukuh­kan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan rantau ber­kenaan serta menarik penyertaan kira-kira 500 peserta.

Menurut Mustapa, antara aktiviti termasuk seminar me­ngenai rantau Amerika Latin dan mengete­ngahkan kekuatan Malaysia dalam bidang ae­roangkasa, kende­ra­an, elektrik dan elektro­nik, farmase­utikal dan peralatan perubatan.

“Jumlah eksport Malaysia ke Amerika Latin berkembang sebanyak 10.2 peratus pada 2016 kepada AS$3.7 bilion (RM15.3 bilion).

“Import dari rantau berkenaan naik 2.1 peratus kepada AS$4.1 bi­lion (RM17 bilion) dan Brazil, Argentina, Mexico, Venezuela dan Chile kekal sebagai lima sumber import terbesar Malaysia,” kata­nya.