Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Aureen Jean Nonis berkata, eksport utama ke Afrika adalah minyak sawit dan produk sampingannya bernilai kira-kira RM10.15 bilion atau 48.6 peratus daripada jumlah eksport ke rantau berkenaan.
Katanya, selain itu antara eksport utama Malaysia ke Afrika termasuk makanan, jentera, peralatan dan bahagian yang diproses serta produk petroleum.
“Malaysia telah membina hubungan baik dan berfaedah dengan negara-negara Afrika menerusi Dasar Selatan-Selatan sejak awal 90-an.
“Program Latihan Negara Ketiga (TCTP) adalah platform ideal untuk memenuhi komitmen kerajaan dalam mengukuhkan Kerjasama Selatan-Selatan dan meningkatkan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan negara-negara Afrika melalui penguasaan pengetahuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Negara-negara rakan dagang utama Malaysia di rantau Afrika termasuklah Afrika Selatan, Cote d’Ivoire, Mesir, Nigeria dan Ghana.


Tambah Jean Nonis bagi menggalakkan lagi eksport Malaysia ke Afrika, Matrade turut memainkan peranan bagi berkongsi kepakarannya memacu peningkatan eksport menerusi program TCTP bermula 28 Oktober hingga 9 November ini.


Katanya, bagi penganjuran kali ini, lapan peserta yang merupakan pegawai kerajaan dari Cameroon, Kenya, Mozambique, Senegal, Tanzania dan Zimbabwe akan mengambil bahagian dalam program tersebut.


“Sejak penyertaan pertama pada 2013,  Matrade telah melatih sejumlah 51 peserta dari 14 negara Afrika.


“Program dua minggu itu direka khusus untuk saling menguntungkan negara-negara Afrika dan Malaysia, melalui perkongsian amalan terbaik dalam fasilitasi perdagangan, lawatan ke pelbagai agensi kerajaan serta lawatan sambil belajar ke syarikat-syarikat Malaysia untuk memahami ekosistem pembangunan perdagangan di Malaysia,” katanya. - UTUSAN ONLINE