Penganalisis, Ray Farris dan Trang Thuy Le menjelaskan dalam laporan, institusi itu telah menukar unjuran tiga bulan nilai ringgit kepada RM4 setiap dolar daripada RM4.10.

Menurut laporan tersebut, syarikat kewangan global berkenaan turut menyemak semula sasaran 12 bulan nilai ringgit kepada RM3.80 setiap dolar daripada RM4.

“Bank Negara Malaysia (BNM) telah menggalakkan semakan ramalan ini, malah bank pusat itu juga bersedia menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) 25 mata asas pada suku pertama 2018.

“Meskipun ringgit semakin mengukuh, kadar pertukaran sebenar hanya meningkat tiga peratus daripada rekod terendah Disember 2016, mata wang itu masih dinilaikan tujuh peratus lebih rendah mengambil kira Brent diniagakan sekitar AS$63 (RM259) setong,” katanya.

Menurut laporan berkenaan, nilai ringgit yang rendah membantu memulihkan eksport Malaysia sekali gus membolehkan penghantaran yang mengatasi sebahagian besar negara lain di Asia.

Katanya, Credit Suisse turut menjangkakan lebihan akaun semasa akan berkembang kepada AS$11.5 bilion (RM47.35 bilion) pada 2018 daripada AS$9.9 bilion (RM40.76 bilion) tahun ini.

Jelas laporan berkenaan, nilai tersebut adalah tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 2.4 peratus pada 2016.

“Kedudukan dalam aset ringgit dilihat sederhana namun ia seharusnya akan bertambah baik kerana pelaburan ekuiti asing masih lagi sangat rendah dengan ketara buat ketika ini.

“Kerajaan dan BNM akan menerima pengukuhan nilai ringgit tersebut terutama menuju pilihan raya umum tidak lama lagi kerana pengukuhan mata wang dianggap sebagai sumber keyakinan.

“Risiko ramalan termasuk pembaharuan cukai Amerika Syarikat (AS) dan sebarang aliran keluar jika kerajaan mengurangkan pelaburan asing dalam negeri selepas kestabilan ringgit,” jelas laporan itu. - UTUSAN ONLINE