Baru-baru ini, penulis berpeluang untuk memandu uji vari­an 1.5L Turbocharged Premium 2WD ke Johor Bahru dan merasai sendiri pembaharuan teknologi yang dilakukan oleh Honda.

Melihat wajah luarannya sahaja sudah memberikan imej sporty dan gagah. Gaya itu dipadankan dengan lampu hadapan utama diod pemancar cahaya (LED), lampu nyalaan siang (DRL), lampu belakang dan brek serta lampu kabus LED.

Dalamannya pula kelihatan premium dengan tona hitam serta sedikit kemasan kayu pada papan pemuka, pintu dan tepi konsol. Ruang kelegaan kaki seluas 90 milimeter (mm) memberikan keselesaan terutama ketika perjalanan jauh kepada penumpang belakang.

Kerusi dibaluti dengan kemasan kulit berwarna hitam. Kerusi pemandu dan penum­pang hadapan boleh di laras de­ngan kuasa elektrik. Ruang konsol barangan yang besar dapat memuatkan beg tangan atau komputer riba bersaiz 13 inci.

Tempat duduk belakang boleh dilipat rata bagi memberi lebih ruang untuk kargo sehingga 1,084 liter dan 250mm lebih luas berbanding mo­del sebelumnya.

Kesemua varian dilengkapi lapan pembesar suara dan skrin paparan audio tujuh inci yang boleh digunakan bersama Apple CarPlay atau Android Auto. Terdapat satu slot HDMI dan empat port USB de­ngan dua daripadanya untuk kegunaan penumpang belakang.

CR-V serba baharu menerima peng­iktirafan lima bintang daripada ASEAN NCAP kerana memiliki tiga tahap keselamatan iaitu aktif, pasif dan Honda Sensing.

Honda Sensing mempunyai tujuh ciri keselamatan utama seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Sistem Mengekor Ke­lajuan Rendah (LSF), Sistem Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW) dan Bantuan Kekal Lorong (LKAS).

Selain itu, terdapat juga Sistem Brek Menghindari Pelanggaran (CMBS), Sistem Amaran Pertukaran Lorong (RDM) dan Amaran Keluar Lorong (LDW).

Bagaimanapun hanya vari­an 1.5L Turbocharged Premium 2WD sahaja yang dilengkapi de­ngan teknologi itu.

Tiga varian dilengkapi dengan 1.5L talaan terus caj turbo enjin VTEC sama seperti Civic namun jumlah output yang dihasilkan lebih besar dengan kuasa kilas 243 Nm pada putaran enjin 2,000 hingga 5,000 rpm. Varian paling asas didatangkan dengan enjin 2.0L i-VTEC.

Ketika sesi perbandingan dengan dua model pesaing dan CR-V generasi keempat, ternyata CR-V serba baharu berada dalam kelasnya tersendiri apabila pemanduan terasa begitu lancar, berkuasa ketika memecut dan stabil ketika mengambil selekoh.

Pecutan sehingga 170 kilometer (km) sejam dapat dicapai dengan mudah tanpa rasa beralun. Namun, terasa sedikit kebisingan dalam kabin apabila kelajuan melebihi 160 km sejam.

Ketika meredah kesibukan bandar Johor Bahru, penulis berpeluang menguji Honda Sensing yang menggabungkan teknologi kamera monokular dan radar. Ternyata ia membantu dalam kesesakan lalu lintas tanpa membuatkan kaki berasa penat untuk mengawal brek dan kelajuan.

Honda CR-V Serba Baharu 1.5L Turbocharged Premium 2WD berharga RM167,700 tidak termasuk insurans dengan lima pi­lihan warna iaitu Obsidian Blue Pearl, White Orchid Pearl, Mo­dern Steel Metallic, Lunar Silver Metallic dan Dark Olive Metallic.