Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata, kebanyakan perusahaan Melayu di negeri ini bertapak sejak tiga hingga empat generasi berbanding negeri lain yang baru bermula.


“Keistimewaan orang Melayu Kelantan berbanding negeri lain adalah mereka berniaga sejak 1960-an lagi dan perusahaan itu dikekalkan generasi seterusnya sehingga hari ini.


“Kita mahu bumiputera Melayu menukar sikap bergantung kepada orang lain dengan bekerja makan gaji. Apa yang perlu kita fikir adalah bagaimana hendak beri pekerjaan kepada orang,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Kilang Wau Tradisi Enterprise iaitu sebuah kilang pengeluar rempah ratus di Kompleks Premis Keusahawanan SME Bank di Pengkalan Chepa di sini hari ini.


Yang turut hadir, Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kelantan, Nik Mohd. Fahim Muhaimin; Pengurus Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Nik Faizal Nik Ahmad dan Pengarah Urusan Wau Tradisi Enterprise, Mohd. Anazim Adnan. 


Wau Tradisi Enterprise yang beroperasi sejak 1967 merupakan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memperoleh empat bintang Penarafan Daya Saing PKS untuk Peningkatan (SCORE) oleh SME Corp., iaitu salah satu agensi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. - UTUSAN ONLINE