Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Syahrunizam Samsudin berkata, antara fungsi baharu yang ditambah ialah meng­hubungkan kad Touch ‘n Go dengan aplikasi yang terdapat di telefon pintar.

Kata beliau, ciri baharu itu memudahkan para pengguna untuk menyemak baki selain memberikan pelbagai maklumat berkaitan akaun mereka.

“Pengguna boleh menambah nilai di kedai serbaneka yang menjual nombor pin Touch ‘n Go sama seperti tambah nilai untuk kredit telefon. Semua fungsi di bawah satu aplikasi dijangka memacu penggunaan e-dompet dalam tempoh beberapa bulan.

“Antara ciri-ciri yang ditawarkan oleh Touch ‘n Go e-dompet setakat ini adalah perkhidmatan pembayaran, tambah nilai, pemindahan wang dan menonton wayang,” katanya dalam majlis perasmian pembukaan pejabat hab operasi utama TNG Digital di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Ketua Pegawai Teknologi Ant Financial Group, Cheng Li.

Tambah Syahrunizam, pembukaan hab tersebut bakal me­ngukuhkan lagi usaha TNG Digital untuk menggalakkan pertumbuhan e-dompet bagi pasaran tempatan.

Menurutnya, pemilihan lokasi di Bangsar Selatan merupakan langkah strategik yang mana ia membolehkan syarikat menggunakan sepenuhnya kedudukan di tengah pusat hab perniagaan Kuala Lumpur untuk menjadi penghubung dengan masyarakat tanpa tunai.

“Malaysia kini ke arah ma­syarakat tanpa tunai dan TNG Digital bekerjasama dengan Ant Financial Group untuk merevolusikan ekosistem pembayaran tanpa tunai.

“Walaupun perkhidmatan ini masih baharu saya yakin ma­syarakat akan menjadikan Touch ‘n Go e-dompet sebagai platform pembayaran seharian mereka. Sebagai pembekal perkhidmatan Touch ‘n Go e-dompet kami sentiasa berusaha untuk mening­katkan pengalaman pe­langgan,” katanya.