Pada majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna CIMB Group, Samir Gupta turut dinobatkan sebagai ‘Retail Banker of the Year in Asia Pacific 2019’, mengiktiraf pencapaiannya sebagai pemimpin terbaik dalam industri perbankan runcit di rantau ini.

CIMB, kumpulan perbankan kelima terbesar di ASEAN berkata, ia kini disenaraikan sebagai antara 10 bank utama di Asia Pasifik dalam jadual liga The Asian Banker, daripada kedudukan ke-17 sebelum ini.

Bank itu turut memenangi gelaran ‘Asia’s Leader in Loans’ di International Data Corporation (IDC) Financial Insights Innovation Awards 2019, bagi inovatif perbankan penggunanya CIMB 1-Minute Financing InstaApproval, yang diiktiraf atas tindak balasnya kepada keperluan pasaran, keberkesanan penggunaan, tindak balas pasaran dan daya maju perniagaan jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, anugerah ini membuktikan sejauh mana kumpulan itu telah berusaha untuk menawarkan produk perbankan digital yang baik dengan lancar kepada pelanggan runcitnya melalui analisis data pintar dan kecerdasan buatan.

“Francais perbankan pengguna kami yang berkembang maju di ASEAN hari ini adalah hasil daripada inisiatif kami untuk membangunkan CIMB sebagai sebuah bank sejagat.

“Anugerah ini akan memacu kami ke hadapan untuk meningkatkan tumpuan kami kepada pelanggan, iaitu antara lima tonggak yang dikenal pasti dalam pelan pertumbuhan jangka sederhana CIMB yang akan datang, Forward23,” katanya. - BERNAMA