WILSON BAYA DANDOT

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (Recoda), Tan Sri Wilson Baya Dandot berkata, firma-firma China merupakan entiti yang telah mengesahkan pelan untuk melabur di ne­geri itu.

Sehingga Disember 2016 ujar beliau, SCORE telah menerima pelaburan lebih RM104 bilion daripada sektor awam dan swasta.

Bagi Taman Perindustrian Samalaju (SIP) di Bintulu sahaja kata beliau, firma dari Afrika Selatan dan Jepun selain syarikat tempatan, terutama dalam industri berasaskan tenaga di SIP bernilai RM33.64 bilion.

Firma-firma itu ujarnya, terdiri daripada OCI Malaysia yang memproses silikon polikristalin, Press Metal (jongkong dan bilet aluminium), OM Materials (mangan), Pertama dan Sakura (ferroaloi).

“Kami telah mengadakan run­dingan dengan pihak-pihak berminat untuk melabur di Sarawak dan kelebihan kami yang menjadi dorongan utama ialah kepantasan melaksanakan sesuatu projek, keupayaan menyediakan apa sahaja saiz atau skala operasi yang dimahukan.

“Kami juga memberi kelebihan dengan menyediakan ruang untuk firma-firma melabur dalam apa sahaja dimensi dan keupayaan kami melaksanakan semua secara serentak,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi ahli panel sesi ‘Peluang Pelaburan Dalam Score’ dalam Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ke-13 di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk N. Rajendran dan Pengarah Urusan Institut Pasaran Modal Asia (ACMI), Brian W. Tang.

Terdahulu dalam ucaptamanya, Awang Tengah berkata, kewujudan industri pencetus di Samalaju telah meletakkan Sarawak pada kedudukan terbaik untuk membangunkan kluster perindustrian bagi industri berasaskan tenaga.