Kerugian ini termasuk kerugian sebenar dan juga kerugian di atas kertas yang mana pelabur dan pedagang saham masih belum lagi menjual peda­gang saham mereka dise­babkan harga turun dan modal pelaburan menjadi susut.

Cetek ilmu

Terdapat ramai pelabur baharu yang terus membuat urus niaga saham di pasaran terbuka selepas akaun CDS dan urus niaga mereka diaktifkan. Kebanyakannya meletak modal kurang dari RM5,000 setelah mendengar ceramah-ceramah saham yang mengatakan boleh melabur dengan modal yang kecil kerana boleh membeli saham dalam jumlah lot saham yang kecil.

Ada juga yang meletakkan modal pelaburan RM500 ke bawah untuk merasa pengalaman bagaimana membuat pelaburan saham ini. Dan apabila mereka membuat transaksi saham, kemungkinan pertama dan kali kedua mereka berjaya meraih keuntungan disebabkan pada ketika itu sentimen pasaran positif dan pasaran sedang dalam trend menaik.

Tetapi, lazimnya pasaran saham tidak akan bertahan lama dalam aliran menaik ini. Pasaran saham akan cenderong berubah ke aliran menurun dise-
­babkan berita negatif pasaran saham itu sendiri ataupun dari berita-berita yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat tersenarai. Juga, pasaran akan bertukar ke aliran menurun disebabkan faktor-faktor seperti mengambilan untung, jualan paksa ataupun tekanan jualan yang berterusan lebih-lebih lagi jika jualan besar-besaran dilakukan oleh pelabur asing.

Maka, pelabur dan pedagang baharu yang tidak didedahkan dengan pengetahuan atau keadaan ini akan meneruskan aktiviti beli dan jual saham se­perti biasa. Justeru, sudah tentu belian yang dilakukan dalam waktu ini akan menyebabkan harga saham yang dibeli merosot.

Apabila harga saham merosot, pelabur dan pedagang akan mula menjadi cemas dan risau. Emosi terganggu lebih-lebih lagi yang tidak mempu­nyai lebihan wang untuk dibuat pelaburan dalam pasaran saham. Justeru, dalam keadaan ini, biasanya mereka cende­rong menjual pegangan saham mereka semasa harga saham sedang dalam aliran menurun.

Tindakan tergesa-gesa dan panik ini bertambah buruk apabila mereka membaca cerita-cerita tentang pasaran saham di media sosial. Walau bagaimanapun, tidak semua cerita tentang pasaran saham di media sosial itu betul mahupun salah tetapi pelabur dan pedagang saham perlu melihat siapakah penulis artikel tersebut dan juga perlu disusuli dengan membuat kajian serta semakan sebelum melakukan apa-apa tindakan.

Sebagai makluman, setiap individu mempunyai panda­ngan dan pendapat yang berbeza dalam apa jua bidang. Ini termasuk jugalah dalam pasaran saham. Sesetengah individu melihat pergerakan saham akan naik tetapi terdapat pula yang melihat sebaliknya. Maka, sebagai newbie saham kita perlu mempunyai asas pengetahuan dan mempunyai penasihat atau orang yang dipercayai yang boleh membantu kita dalam urusan jual beli saham.

Tidak faham

Ada pelabur yang membeli saham yang mereka tidak faham atau tidak tahu apakah jenis-jenis saham yang tersenarai di papan Bursa Malaysia.

Baru-baru ini seorang pengikut Cikgu Saham di media sosial Facebook telah memin­ta pendapat melalui pesa­nan peribadi tentang apakah pengertian waran berstruktur. Individu tersebut bertanyakan bagi pihak rakannya yang telah menyedari satu waran berstruktur yang dibeli pada April lalu telah tiada di dalam portfolio pelaburan.

Menurut kenyataan rakan pemuda tersebut, dia membeli waran berstruktur tersebut mengikut buy call yang diberikan oleh seseorang di dalam kumpulan saham yang disertai oleh bekas-bekas peserta kelas saham yang dihadiri.

Dari apa yang diceritakan ini, Cikgu Saham membuat rumusan bahawa sekiranya kita mendengar atau menerima petua-petua saham atau saranan membeli, pelabur dan pedagang saham masih perlu membuat kajian dan analisis saham dan membuat keputusan sendiri yang tidak dipe­ngaruhi oleh sesiapa.

Kita sambung topik ini di minggu hadapan.

Kepada pembaca yang ingin mempelajari tentang pelaburan dan pedagang saham di Kuala Lumpur dan Ipoh, Perak boleh hubungi talian 013-3108156.