Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB, Peter Bellew berkata, setakat ini pihaknya masih dalam perbincangan untuk mencari ca­lon yang sesuai bagi mengisi jawatan tersebut.

Dalam hal ini katanya, MAB akan memberi keutamaan kepada rakyat Malaysia yang mempunyai pengalaman luas dan berpengetahuan dalam industri penerbangan di peringkat global supaya dapat mengendalikan syarikat penerbangan baharu itu dengan baik.

“Kami telah mengenal pasti individu yang mampu mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa dan mempunyai pengalaman dari segi komersial untuk memastikan operasi syarikat baharu ini mencapai kejayaan.

“Setelah semua perkara ini selesai, kita berharap jawatan CEO ini dapat diumumkan dalam tempoh beberapa minggu lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Perjanjian Penerbangan Catar Umrah MAB A380 antara Andalusia Tra­vel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia Travel) bersama Rayhar Travels Sdn. Bhd. (Rayhar Travels) dan MAB di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Andalusia Travel, Datuk Md. Daud Che Ngah dan Pengarah Urusan Rayhar Travel, Harun Ahmmu.

April lalu, dalam wawancara program perniagaan baharu ran­ca­ng­an bual bicara BNC Biz Talk, Bellew berkata syarikat penerbangan khusus Malaysia Airlines bagi membawa jemaah haji dan umrah dijangka memulakan operasi pada akhir tahun depan.

Dalam wawancara tersebut, be­liau memberitahu, pesawat pertama membawa jemaah ke tanah suci Mekah itu yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan dari seluruh dunia dijangka tersedia bagi jemaah yang mengerjakan umrah pada Di­sember 2018 dan Januari 2019.

Bagi syarikat penerba­ngan haji baharu itu, yang juga dikenali sebagai Project Hope, MAB akan mengubah suai enam pesawat Airbus A380 bagi pakej haji dan umrah.

Syarikat penerbangan baharu itu dijangka mewujudkan kira-kira 600 hingga 700 peluang pekerjaan baharu bagi rakyat Malaysia terutama bagi mengisi jawatan juruterbang, anak kapal dan jurutera baharu dan mewujudkan peluang sampingan di negara ini,

Jelas Bellew, beliau mempu­nyai keyakinan yang cukup tinggi terhadap syarikat penerbangan baharu itu berdasarkan kepada keupayaan pesawat A380 yang lebih ideal untuk membawa penumpang yang ramai dan lebih kos efisien.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, MAB di­­­­jang­ka akan mem­per­kenalkan beberapa laluan baharu pada September dan Oktober ini sebagai persediaan pada 2018.

Mengenai cadangan untuk menyenaraikan semula MAB pada 2019, katanya, setakat ini, syarikat berada dalam momentum yang betul untuk kembali mencatat keuntungan pada tahun depan dan seterusnya boleh disenaraikan di papan utama.