Jennifer Wong
Jennifer Wong

Ketua Pegawai Kewangannya, Jennifer Wong berkata, sebanyak 70 peratus daripada peruntukan tersebut akan digunakan untuk pengembangan rangkaian sejajar dengan sasaran untuk mencapai liputan 4G sehingga 85 peratus menjelang hujung tahun ini.

Katanya, pada suku pertama 2017, Celcom telah membelanjakan sebanyak RM167 juta daripada capex tersebut supaya pe­langgan terus mendapat liputan 4G secara meluas dan konsisten.

“Sebelum ini, kami banyak memberi fokus kepada teknologi maklumat (IT) tetapi tahun ini ia lebih tertumpu kepada pengembangan rangkaian terutama untuk mencapai sasaran liputan 4G, 85 peratus berbanding sekarang 77 peratus.

“Untuk itu, Celcom secara agresif akan melabur dalam penambahbaikan rangkaian bagi menyokong pertumbuhan yang ketara dalam penggunaan data termasuk pelan tindakan untuk menguji teknologi pemprosesan berkapasiti 700 Megabait sesaat (Mbps) pada pertengahan tahun depan diikuti LTE Advanced Pro (Piawaian 4.5G dengan kapasiti pempro­sesan 1 Gigabait sesaat (Gbps) pada pertengahan 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengumumkan pres­tasi Celcom bagi suku pertama 2017 di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Michael Kuehner dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Azwan Khan Osman Khan.

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2017, keuntungan keseluruhan Celcom menurun 2.2 peratus kepada RM1.609 bilion berbanding RM1.646 bilion bagi tempoh sama tahun sebe­lumnya.

Perolehan data pula secara keseluruhan melonjak 29.8 peratus tahun ke tahun kepada RM661 juta, menyumbang 41 peratus kepada keuntungan syarikat.

Celcom mengekalkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM587 juta manakala keuntungan selepas cukai, pelunasan dan kepenti­ngan mino­riti (PATAMI) pada RM269 juta.

Untuk tempoh berkenaan juga, Celcom mencatatkan sebanyak 10.2 juta pelanggan iaitu pe­nu­runan berban­ding suku tahun terakhir 2016 dise­babkan oleh peng­uncupan segmen prabayar yang mengalami tekanan pasaran dan dipengaruhi oleh jenama produk yang kurang ditonjolkan dan kekangan pengedaran, yang kini sedang ditangani oleh syarikat.

Sementara itu, Kuehner berkata, syarikat terus stabil dan me­laksanakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan penguasaan pasaran menjelang hujung tahun ini walaupun berdepan cabaran pasaran yang kompetitif dan te­rus menguncup.

Katanya, transformasi penyusunan semula Celcom pada suku ketiga 2016 juga semakin menampakkan hasilnya dengan pelaksanaan beberapa inisiatif, antaranya pemacuan kos yang efisien dengan sasaran untuk mencapai kadar optimum yang bersesuaian dengan pasaran yang stabil.

“Malah, untuk tempoh beberapa bulan akan datang, terdapat perubahan terkini dalam usaha mentransformasikan cawangan-cawangan runcit kami kepada outlet dengan meningkatkan dan membina pengetahuan umum mengenai kehadiran kami secara dalam talian,” katanya.