Mohamed Khaled Nordin

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, menerusi pelaksanaan CDPii dalam tempoh lima tahun (2016-2020) kerajaan negeri akan memastikan tiga perkara utama yang digariskan akan dijalankan dengan lebih berkesan.

Menurutnya, perkara pertama ialah siri-siri pelaburan yang dilakukan di wilayah yang pesat membangun itu sama ada menerusi sumber tempatan mahupun pihak luar perlu dilakukan dengan terancang dan terkawal bagi memaksimumkan penyertaan pemain dan tenaga kerja tempatan dengan sasaran memberi manfaat seimbang.

“Yang kedua, kita mahu memastikan dalam keghairahan pembangunan di kawasan tersebut, CDPii itu akan mengutamakan aspek kelestarian, sekali gus kita tidak akan memandang ringan atau mengambil enteng perkara tersebut.

“Ketiga, kita mahu pastikan setiap pusat tumpuan pelaburan yang ada di Johor seperti Iskandar Malaysia berupaya menyalurkan limpahan kemakmuran hasil kerancakan ekonominya ke kawasan persekitaran dan bukan tertumpu di satu tempat, katanya pada majlis pelancaran Pelan Pertumbuhan Strategik Johor (PPSJ) dan CDPii Iskandar Malaysia yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Sukan EduCity, di sini semalam.

Justeru, menerusi CDPii kerajaan negeri akan memastikan semua perancangan berlaku dengan cara paling berkesan, tegasnya.

Mohamed Khaled berkata, antara sebab utama kemampuan Johor untuk mencatatkan banyak petunjuk pertumbuhan ekonomi yang konsisten serta positif disebabkan oleh wilayah pembangunan ekonominya yang tersusun seperti Iskandar Malaysia.

Namun, kewujudan wilayah eko­nomi itu semata-mata tidak mampu menjana pertumbuhan ekonomi yang baik melainkan disusuli dengan siri perancangan strategik dan kemas seperti CDPii dan PPSJ.