Pengerusinya, Kamari Zaman Juhari berkata, pada peringkat permulaan pihaknya berhasrat untuk menukar nama bank koperasi tersebut kepada Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (CBP) supaya dilihat lebih profesional dan berintegriti.

Katanya, pelaksanaan penjenamaan semula ini sudah mendapat kelulusan di peringkat Mesyuarat Agung CBP dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi membolehkannya membuat pindaan terhadap undang-undang kecil koperasi yang memerlukan kelulusan terakhir daripada SKM.

“Pertukaran nama ini dibuat apabila kami mendapat banyak reaksi daripada pihak luar supaya CBP membawa satu imej yang nampak lebih profesional kerana ramai yang keliru sama ada kami adalah sebuah persatuan atau bank.

“Jadi nama ‘Pertama’ ini dipi­lih daripada beberapa nama yang te­lah dikenal pasti kerana ia mencerminkan tempat kelahiran CBP di Kampung Pertama, Permatang Pauh, Pulau Pinang. Malah, kami juga adalah bank koperasi pertama di Malaysia selepas pengisytiharan oleh SKM.

“Kami jangka nama baharu ini akan digunakan selewat-lewatnya pada suku ketiga tahun ini bersama dengan tagline baharu, ‘Berkembang Bersama Kami’, katanya di sini baru-baru ini.

Tahun ini, CBP meraikan ulang tahun ke-68 penubuhannya sejak ditubuhkan pada 7 Jun 1950. CBP mempunyai sejarah yang panjang dalam pembangunan koperasi di negara ini, kerana ia pada mulanya dikenali dengan nama asal Province Wellesley Cooperative Union Bank Limited.

Pada September 2014, CBP kemudiannya mencatat satu lagi kejayaan sebagai bank koperasi pertama di negara ini yang menerima lesen perbankan dari Bank Negara Malaysia (BNM).

Setakat ini, CBP mempunyai 80,000 ahli individu dan 653 ahli koperasi.

Pada 2017, CBP merekodkan pendapatan operasi yang tinggi sehingga RM198.6 juta dengan keuntungan sebelum cukai dan zakat lebih RM39 juta. Jumaat lalu, CBP mengagihkan bayaran dividen enam peratus (setelah ditolak zakat) berjumlah RM28 juta, lebih tinggi berbanding 5.5 peratus (RM21 juta) pada tahun sebelumnya.

Pencapaian itu adalah berdasarkan pertumbuhan pengeluaran pembiayaan yang dicapai pada 2017 hampir RM670 juta, meningkat 35 peratus berban­ding 2016 sebanyak RM496 juta manakala aset pembiayaan me­ningkat lebih 21 peratus daripada RM1.73 bilion tahun sebelumnya kepada RM2.1 bilion.

Berdasarkan prestasi tahun lalu, CBP turut menyasarkan kadar pertumbuhan pengeluaran pembiayaan sehingga 20 peratus melalui sasaran pengeluaran lebih RM815 juta dan kadar pertumbuhan antara 15 hingga 20 peratus dengan jumlah pengeluaran mele­bihi RM1.1 bilion dalam tempoh dua tahun.

Jelas Kamari Zaman, sejajar dengan langkah penjenamaan semula itu, CBP memperuntukkan kira-kira RM29 juta tahun ini yang akan dibelanjakan untuk membuat beberapa penambahbaikan antaranya, pertukaran logo dan nama secara menyeluruh melibatkan semua peringkat termasuk cawangan, pengenalan produk baharu dan latihan kakitangan.

Beliau berkata, tahun ini, CBP turut menyasarkan untuk mengeluarkan bayaran dividen lebih tinggi pada kadar tujuh peratus dengan keuntungan sebanyak RM54 juta kepada kesemua ahli.

Ditanya mengenai perubahan kerajaan baharu, beliau memberi­tahu, pihaknya masih menunggu beberapa perubahan dasar yang akan dibuat termasuk pembia­yaan untuk rumah mampu milik dan bayaran gaji minimum bagi membolehkan CBP merangka hala tuju pada masa depan.

“Ini kerana kita juga mengeluarkan pembiayaan untuk rumah mampu milik sama ada melalui dasar baharu ataupun tidak dan bagi CBP pula kena lihat bagaimana pengurusan risiko akan dibuat. Tapi saya percaya setiap kementerian akan mengeluarkan dasar-dasar baharu ini,” katanya.