Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Nor Abd. Razak berkata, ketika ini CBP mempunyai 80,000 anggota individu dan 653 anggota koperasi daripada kala­ngan bumiputera Islam sahaja dan koperasi yang komposisinya me­rangkumi 90 peratus.

Katanya, langkah itu adalah sejajar dengan peranan CBP ketika ini sebagai bank koperasi di negara ini bagi memperluaskan keanggotaannya kepada semua peringkat.

“Kami berharap inisiatif ini akan menggalakkan lebih ramai pe­nyertaan bukan sahaja daripada individu tetapi juga koperasi di negara ini yang berjumlah 13,000 koperasi.

“Setakat ini, kita masih tunggu kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk membuka keanggotaan kepada semua peringkat masyarakat termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya di sini baru-baru ini.

Bayaran minimum syer keanggotaan untuk menjadi ahli CBP bagi inividu ialah RM1,000 manakala koperasi pula RM5,000.

Pada 2017, CBP merekodkan pendapatan operasi yang tinggi sehingga RM198.6 juta dengan keuntungan sebelum cukai dan zakat lebih RM39 juta.

Pencapaian itu adalah berdasarkan pertumbuhan pengeluaran pembiayaan yang dicapai pada 2017 hampir RM670 juta, meningkat 35 peratus berban­ding 2016 sebanyak RM496 juta manakala aset pembiayaan meningkat lebih 21 peratus daripada RM1.73 bilion tahun sebelumnya kepada RM2.1 bilion.

Menurut Mohd. Nor, pembiayaan peribadi masih menjadi penyumbang utama kepada jumlah perolehan CBP iaitu antara 80 hingga 90 peratus manakala selebihnya adalah pembiayaan korporat dan koperasi.

Katanya, bagaimanapun, di bawah penstrukturan semula CBP, komposisi pembiayaan peribadi akan dikurangkan kepada 70 peratus dan pembiayaan korporat dan koperasi pada 30 peratus.

Ini, jelasnya, sejajar dengan mandat yang diberikan kepada CBP sebagai sebuah bank kepada gerakan koperasi, bagi membantu koperasi-koperasi yang memerlukan bantuan dan perkhidmatan kewangan dalam mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Kita berharap dalam tempoh dua tahun, kita dapat mencapai nisbah ini dengan meningkatkan pembiayaan korporat dan koperasi. Selain itu, kita juga mendapati segmen perniagaan Ar-Rahnu mempunyai potensi tinggi kerana telah mula berkembang dengan pesat dan bakal memberikan sumbangan pendapatan utama kepada CBP.

“Langkah ini sejajar dengan pelan strategik lima tahun CBP yang turut menyasarkan pembayaran dividen sebanyak 10 peratus menjelang 2020,” katanya.

Dari segi pengembangan operasi bank, beliau berkata, sehingga kini terdapat 20 buah cawangan di seluruh negara dan CBP akan membuka lagi empat cawangan tahun ini di Batu Pahat, Kuala Selangor, Temerloh dan Port Dickson.

Beliau memberitahu, dalam usaha mengukuhkan perniagaan CBP dan menarik kenyakinan orang ramai melabur dan menjadi ahli, CBP akan terus mempergiatkan proses transformasi melalui beberapa inisiatif selaras dengan pelan strategik lima tahun CBP bagi menyokong perkembangan perniagaannya pa­da masa hadapan.

Katanya, ia merangkumi aspek pengurusan modal dan pematuhan prudential ratio, pendanaan, pertumbuhan portfolio pembiayaan yang berkualiti, kecekapan modal insan, penjenamaan CBP dan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) selaras dengan pelan strategik lima tahun CBP bagi menyokong perkembangan perniagaannya pada masa hadapan.