Ia susulan pemegang francais Chatime, La Kaffa International Co. Ltd. yang berpangkalan di Taiwan memfailkan tuntutan untuk permohonan injunksi bagi menghalang Loob daripada meneruskan operasi Tealive.

Loob dalam perkongsian di laman media sosial Facebook dan Instagram, Tealive Asia menjelaskan syarikat berkenaan akan terus beroperasi dan mengekalkan status quo sementara menunggu arahan mahkamah.

“Ya. Kes mahkamah kami berada dalam berita. Kami akan mengekalkan status quo sementara menunggu arahan lanjut daripada mahkamah. Terima kasih atas sokongan dan pemahaman anda sehingga kini. Kami berharap dapat terus melayani anda,” jelas perkongsian itu.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di cawangan Tealive Sunway Pyramid menyaksikan ia masih beroperasi seperti biasa, malah semakin ramai pelanggan beratur untuk menikmati minuman kegemaran mereka.

Seorang pelajar, Tunku Aifa Tunku Ata, 18, berkata, dia menge­tahui tentang isu itu dan ingin memanfaatkan ganjaran kad kesetiaan Tealive mengambil kira kemungkinan ia akan ditutup dalam masa terdekat ini.

“Ya saya ada terbaca yang Tealive mungkin akan ditutup, jadi sebab itu saya beli minuman sini kerana masih terdapat ba­nyak ganjaran untuk ditebus, dan mungkin juga kali terakhir untuk saya minum,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengurus teknikal acara, Eason Wan, 26, pula berkata, dia tidak mengetahui tentang perbalahan antara Loob dan La Kaffa, sebaliknya hanya singgah membeli seperti yang dilakukan pada hari-hari biasa.

“Saya tidak tahu langsung mengenai isu ini, jadi saya hanya datang untuk membeli seperti sebelum-sebelum ini kerana saya sememangnya gemar dan kerap membeli minuman teh buih di Tealive ini,” jelasnya.

Pada Januari 2017, La Kaffa menamatkan kontrak Loob sebagai pemegang francais di Malaysia kerana terdapat ‘perbezaan pendapat’ antara syarikat itu dengan hala tuju perniagaan Chatime di pasaran Malaysia.

Sehingga hari ini, Loob memiliki sebanyak 161 cawangan Tealive di seluruh negara dan penutupan jenama tersebut dijangka memberi kesan kepada seramai 800 pekerja dan kakitangannya di seluruh negara.