CHIA LIK KHAI
CHIA LIK KHAI 

Pengarah Eksekutif, Chia Lik Khai berkata, langkah itu selaras dengan sasaran syarikat untuk mewujudkan sebanyak 300 cawangan FamilyMart di seluruh Semenanjung dalam tempoh lima tahun sejak mula beroperasi pada November 2016.

“Kita berhasrat membuka sekurang-kurangnya 20 cawangan FamilyMart di seluruh Melaka dalam tahun ini manakala dua lagi cawangan akan dibuka di Negeri Sembilan juga tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pembukaan cawangan FamilyMart ke-100 di Malaysia di Jalan Jonker petang ini.

Majlis pembukaan cawangan FamilyMart pertama di Melaka itu disempurnakan oleh Ketua Menteri, Adly Zahari dan turut dihadiri Pengarah Maxincome Resources Sdn. Bhd., Noor Azman Nordin, salah satu unit dalam QL Resources.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong.

FamilyMart Jalan Jonker merupakan cawangan kesembilan di luar Lembah Klang selain lapan cawangan sudah beroperasi di Johor manakala selebihnya iaitu 91 premis dibuka di Lembah Klang.

Cawangan FamilyMart di negeri ini merupakan yang kedua terbesar selepas di Austin Heights di Johor, beroperasi di bangunan dua tingkat di tengah bandar raya Melaka memiliki kapasiti tempat duduk terbanyak iaitu mampu memuatkan 70 orang.

Menurut Lik Khai, bersempena pembukaan cawangan FamilyMart ke-100 ini, pusat penyediaan makanannya iaitu QL Kitchen Sdn. Bhd. turut menerima berita gembira apabila menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk 108 produk makanan sedia dimakan (ready to eat) di setiap cawangan itu.

Katanya, pensijilan halal itu juga membolehkan pembungkusan makanan sedia dimakan di FamilyMart menggunakan logo halal tanpa diragui selepas ini.

“Kita juga memperkenalkan lima produk baharu FamilyMart iaitu onigiri sate ayam, onigiri otak-otak, spageti napolitan, linguine masak lemak dan puding mangga kelapa alphonso.

“Selain itu FamilyMart akan terus mengetengahkan produk makanan halal ala Jepun yang digemari pengunjung antaranya bento, sandwic, oden serta ais krim sofuto,” katanya. - UTUSAN ONLINE