Kenapa? Sebenarnya lebih kerap anda menulis, akan lebih kerap lagi algoritma pencarian enjin seperti Google, Yahoo dan Bing datang ke laman web atau blog anda untuk proses mengindeks dan setiap perkataan serta ayat yang telah diindeks tadi akan disimpan.

Sekiranya terdapat beberapa individu yang ingin mencari sesuatu benda dan memasukkan perkataan serta ayat yang kebanyakannya ada tertulis di laman web anda, maka dengan sendirinya laman web anda itu akan berada pada kedudukan teratas. Ini disebabkan perkataan dan ayat tadi yang telah diindeks, dikeluarkan sebagai satu daripada senarai jawapan kepada pencarian tadi. Dengan sendiri juga, laman web anda akan berada pada muka surat pertama atau kedua.

Untuk sentiasa memperbaharui kandungan laman web anda secara kerap dan konsisten, penulisan blog adalah cara yang terbaik. Ia bukan sahaja mampu menyediakan perkataan-perkataan baharu untuk diindeks oleh algoritma pencarian enjin, malah ia juga mampu menarik pembaca untuk mengikuti perkembangan jenama anda dengan lebih dekat lagi.

Jadi, bagaimanakah cara terbaik untuk menulis blog yang mampu menarik perhatian dan minat pembaca? Kalau anda perhatikan dengan lebih mendalam di akhbar-akhbar, majalah ataupun di laman blog yang ada di luar sana, hanya beberapa bentuk penulisan yang boleh membuatkan orang tertarik dengan penulisan blog anda.

Penulisan berbentuk garis panduan.

Ia seperti memberikan nasihat atau langkah-langkah yang perlu diambil untuk berbuat sesuatu. Contohnya, Enam Perkara Penting Yang Selalu Orang Lupa Sebelum Membasuh Kereta Sendiri. Atau Tiga Sebab Utama Mengapa Gigi Anda Longgar Sebelum Mencecah Umur 40 Tahun. Penulisan jenis ini paling diminati ramai sekiranya tajuk dan perenggan pertama anda digubah dengan baik. Para pembaca inginkan sesuatu yang boleh mereka belajar, ambil iktibar dan mengikut apa yang telah ditulis itu. Mereka mengharapkan dengan mengikuti garis panduan dan langkah-langkah tadi, ia akan membuatkan hidup mereka lebih baik dan berkualiti, mengurangkan kos, menambahkan pendapatan dan sebagainya.

Penulisan melibatkan kajian kes.

Kajian kes amat diminati terutamanya kepada individu atau pemilik syarikat yang tidak begitu pasti apakah langkah atau keputusan seterusnya yang perlu mereka ambil dalam mencapai sesuatu perkara. Misalnya, tentang kaedah pencarian kerja yang paling efektif, cara menjual sesuatu produk dengan lebih cepat, bagaimana untuk membuat video yang menarik dan lain-lain. Dengan kajian kes, mereka dapat belajar daripada pengalaman syarikat lain atau individu lain yang telah melalui perkara sama dan berjaya. Jejak langkah ini yang paling mereka ingin tahu dan ikuti agar mereka tidak perlu lagi mengulangi kesilapan sama yang telah dilakukan individu atau syarikat tersebut.

Penulisan tentang pengalaman.

Penulisan ini sama dengan kajian kes tadi tetapi bezanya ialah ia merupakan pengalaman penulis sendiri. Seperti saya yang berbelas-belas tahun mempunyai pengalaman dalam subjek pemasaran digital ini, setiap penulisan yang dikongsi dengan anda merupakan pengalaman saya sendiri. Ini membolehkan anda tidak perlu lagi menghabiskan masa berbelas-belas tahun lamanya untuk mendapatkan pengalaman yang sama. Hanya cukup membaca daripada pengalaman yang ditulis. Ini akan menjimatkan masa anda untuk mengejar kejayaan pemasaran digital anda.

Penulisan berbentuk soal jawab.

Soal jawab biasanya akan dilakukan dengan individu yang telah berjaya dan dikenali ramai. Soalan-soalan yang dikemukakan biasanya lebih tertumpu kepada kejayaan individu tersebut dan ‘formula’ yang diguna pakai untuk mencapai kejayaan tadi. Dengan cara penulisan sebegini, emosi para pembaca akan lebih tertumpu kepada jawapan kepada setiap soalan yang ditanya iaitu formula kejayaan. Mereka ingin sangat untuk mengetahui tentangnya kerana mana tahu ada jalan pintas yang boleh digunakan ataupun tidak.

Dalam pada yang sama, perlu juga untuk anda memastikan yang penulisan anda itu tidak terlalu membosankan seperti di dalam buku-buku teks. Ia perlu lebih beremosi, ceria atau sedih, marah atau gembira dan sebagainya. Sesiapa pun memang tidak suka membaca buku teks, percayalah. Dan jangan lupa juga gambar-gambar menarik yang perlu ada bersama penulisan anda tadi.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital. Ikuti pandangan beliau di azleen.com.