Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong berkata, terbitan berkenaan akan digunakan untuk membiayai pembelian gadai janji dan pembiayaan kewangan rumah patuh syariah dalam sistem kewangan.

Menurutnya, penerbitan CMTN adalah melalui pembukaan semula bon sedia ada yang mana ia merupakan aktiviti pembukaan semula kedua oleh syarikat pada tahun ini.

“Bon tertunggak ini mempunyai baki tempoh matang satu tahun dan sejumlah RM200 juta yang telah berjaya di tingkatkan kepada RM1 bilion selepas pembukaan semula.

“Terbitan berkenaan mendapat sambutan baik daripada pelabur tempatan termasuk dana kekayaan berdaulat, institusi kewangan, korporat, syarikat insurans dan pengurus aset asing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Chee Leong, sambutan yang baik terhadap terbitan berkenaan membolehkan syarikat menambah jumlah pembukaan semula awal daripada RM500 juta kepada RM800 juta dan mengukuhkan harga sebanyak dua mata asas (bps) kepada hasil akhir sebanyak 3.95 peratus.

Katanya, nilai itu mewakili 56 mata asas lebih tinggi daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia satu tahun yang sama.

“IMTN satu tahun bernilai RM25 juta juga dinilaikan pada harga yang kompetitif iaitu 3.95 peratus dan untuk peletakan swasta. Terbitan bon dan sukuk yang di dominasi ringgit satu tahun ini merupakan terbitan yang ke-16 oleh syarikat pada 2018.

“Terbitan utama terkumpul setakat ini berjumlah RM9.3 bilion meningkat 24 peratus dalam penawaran utama syarikat berbanding RM7.5 bilion pada 2017,” ujarnya.

Terbitan CMTN dan IMTN akan ditebus nilai nominal penuh pada tempoh matang yang merupakan tanggungan tidak bercagar oleh syarikat yang mempunyai kedudukan dan taraf yang sama antara mereka berserta dengan semua tanggungan tidak bercagar sedia ada. Ia akan disenarai dan didagangkan di bawah Sistem Perdagangan Sekuriti Tanpa Skrip (Scripless).