Selain perisian carta dan aplikasi saham yang menyediakan banyak maklumat serta data pasaran, satu lagi teknik yang semakin mendapat perhatian pelabur dan pedagang masa kini ialah penggunaan algoritma atau urus niaga robotik termasuk penyaringan saham menggunakan sistem automatik.

Walaupun kaedah algoritma atau urus niaga robotik masih belum popular atau masih asing lagi kepada ­newbie saham, namun pendedahan kepada urus niaga robotik dan algoritma semakin mendapat perhatian pelabur dan pedagang baharu.

Justeru, maklumat tentang perkara itu menjadi perhatian pelabur dan pedagang saham. Mereka juga mula mencari ilmu dan maklumat tentang urus niaga robotik dan algoritma untuk diaplikasikan dalam transaksi beli jual saham.

Pelabur dan pedagang saham masa kini menjadi semakin mudah membuat pemilihan saham berpotensi dengan adanya teknologi, maklumat dan data pasaran yang meluas.

Perkembangan ilmu dan maklumat pasaran semakin bertambah meluas dan berdaya maju dengan adanya perkongsian dan penerangan tentang ilmu-ilmu analisis teknikal yang dimuat turun di YouTube.

Berbanding masa zaman dahulu, ia agak sukar untuk memperoleh maklumat tentang pelaburan saham Bursa Malaysia atau penerangan tentang ilmu analisis teknikal yang di­sampaikan oleh rakyat Malaysia di dalam bahasa Melayu.

Terdapat juga perisian carta yang mempunyai sistem amaran harga (price alert) yang boleh ditetapkan sekiranya pelabur atau pedagang saham tidak mempunyai masa untuk melihat turun naik harga saham secara kerap.

Bagaimanapun, orang baharu dalam bidang saham perlu mendapat bimbingan daripada mereka yang berpengalaman. Ini supaya mereka boleh mengikut jalan pintas dan memahami selok-belok pasaran dalam tempoh singkat berbanding pe­ngalaman sendiri.

Bagi mendapat pengalaman dalam pasaran memerlukan masa lama. Dalam proses itu juga mereka boleh membuat kesilapan dan mencatat kerugian demi kerugian sebelum mendapat rentak yang betul bagi melakukan urus niaga pasaran dengan jayanya.

Ramai pelabur dan pedagang saham newbie kecundang dalam membuat transaksi jual beli ini di pasaran terbuka. Seperti yang kita ketahui, banyak siri kejatuhan sama ada kecil atau besar yang berlaku sepanjang setahun.

Tidak ada pasaran saham yang sentiasa naik tanpa jatuh. Justeru newbie saham yang tidak mendapat bimbingan dan panduan berterusan akan mudah berputus asa dan berhenti daripada membuat pelaburan atau urus niaga saham apabila mengalami kerugian demi kerugian.

Newbie saham juga kebanyakannya tidak mempunyai kesabaran tinggi serta kerap merasa cemas apabila indeks pasaran jatuh atau saham yang mereka beli itu rugi. Ramai yang membeli saham tidak mempunyai ilmu dan gagal membuat kajian terlebih dahulu.

Terdapat ramai pelabur dan pedagang saham yang membeli saham tetapi tidak tahu pada harga berapa untuk dijual. Keba­nyakan mereka boleh diistilahkan sebagai ‘tahu beli tak tahu jual’. Perkara ini sangat memeranjatkan apabila soal selidik dibuat secara rambang ke atas pengikut laman sosial Cikgu Saham.

Mereka atau newbie itu tidak menetapkan matlamat atau mempunyai perancangan pelaburan. Mereka tidak meletakkan sasaran berapa peratus atau berapa banyak keuntungan yang diinginkan.

Mereka juga tidak membuat sistem penggera harga saham yang telah dibeli walaupun mempunyai perisian yang boleh berbuat demikian.

Oleh sebab perkara ini sama ada mereka sedar atau tidak, ramai newbie tidak mempunyai jangka hayat lama dalam pasaran. Setiap pelabur dan pedagang newbie dalam dunia saham mempunyai jangka hayat tidak sampai setahun disebabkan mereka tewas menghadapi cabaran pasaran lebih-lebih lagi ketika perubahan kerajaan masa kini.

Banyak perkara atau peristiwa baharu yang berlaku apabila pertukaran kerajaan dan ini juga merupakan satu cabaran yang perlu diharungi oleh para pelabur dan pedagang saham masa kini.

Kepada pembaca yang ingin menghadiri kelas pelaburan saham pada April ini sila hubungi talian 019-2352037.