Berbeza dengan perdaga­ngan forex yang merupakan satu perdagangan atau transaksi yang memperdagangkan mata wang suatu negara terhadap mata wang negara yang lain, saham merupakan satu pemilikan ekuiti kepada pemegang saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

Bagi mengubah persepsi masyarakat untuk beralih ke bidang saham, maka banyak iklan menarik perhatian pembaca dengan menggunakan konsep seolah-olah urus niaga saham ini sama juga seperti skim cepat kaya atau kasino. Sebagai contoh, iklan yang berbunyi keuntungan saham boleh mencecah 300 peratus atau anda boleh melabur saham hanya bermodalkan RM50.

Sekiranya terbaca iklan ini dan tidak mempelajari selok-belok pasaran, ditakuti mereka ini terbeli saham syarikat yang berada di dalam kumpulan PN17, saham bertanda atau waran yang hampir tamat tempoh kerana tertarik dengan harga yang murah disebabkan modal yang kecil.

Juga, mereka mungkin membeli saham tanpa membuat kajian atau analisis pasaran kerana beranggapan semua saham syarikat tersenarai akan naik sehingga 300 peratus.

Maka, pembaca perlu berhati-hati dengan strategi pemasaran iklan seminar saham atau lebih selamat untuk merujuk kepada pakar-pakar yang bertauliah atau organisasi di bawah pasaran modal serta membuat kaji selidik terlebih dahulu dengan melayari internet mencari seminar-seminar yang dianjurkan oleh organi­sasi yang berkaitan dengan pasaran modal seperti simposium saham yang buat pertama kalinya dianjurkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 9 September lalu.

Kadang-kala ia indah khabar dari rupa seperti aduan dan e-mel yang saya terima daripada orang ramai yang terpedaya dengan iklan-iklan sedemikian. Terdapat kecaman dan kata-kata negatif yang dilemparkan di laman sosial Facebook apabila orang ramai yang menghadiri kelas pembelajaran saham tidak mendapat pulangan se­per­ti yang dicanangkan.

Agak sukar seseorang pe­labur atau pedagang saham untuk membuat keuntungan yang konsisten dan lumayan sepanjang masa kerana sebagai manusia tidak terlepas daripada membuat kesilapan.

Sekiranya pelabur dan pedagang saham merasakan untuk membuat urus niaga jual beli saham di pasaran terbuka agak rumit dari segi pemilihan saham, maka pelabur boleh beralih untuk membuat pelaburan pada saham IPO di tawaran awam atau permohonan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Persoalannya, adakah modal RM50 atau RM100 itu mencukupi atau melayakkan anda memohon saham IPO, walaupun terdapat kenyataan yang menyatakan satu lot saham bersamaan dengan 100 unit, juste­ru kita boleh membeli saham hanya untuk 100 unit sahaja?

Maka, kenyataan dengan bermodalkan RM50 atau RM100 untuk membuat pelaburan di pasaran saham itu bagi saya amat mengelirukan dan samar-samar. Walau bagaimanapun, semuanya terletak pada budi bicara anda kerana semua keputusan jual dan beli terletak pada diri sendiri.

Dengan ayat pemasaran ini, ia sama juga seperti meletakkan harapan kononnya modal RM50 itu boleh menjadi RM1,000. Memang agak menarik strategi pengiklanan ini kerana masyarakat kita memang sangat gemar dengan cerita sebegini yang menjanjikan untung lumayan.

Mereka yang kekurangan wang atau yang tiada wang berlebihan berbondong-bondong membuka akaun CDS dan terus membeli saham tanpa membuat persediaan yang secukup­nya kerana mereka sangat teruja dengan kata-kata membuat keuntungan di pasaran saham sehingga 300 peratus hanya de­ngan modal yang kecil.

Tidak dinafikan telah berlaku suatu saham syarikat yang harganya kurang daripada 5 sen telah naik berterusan sehingga 26 sen tetapi ia tidak terjadi ke atas kesemua saham di papan Bursa Malaysia dan ada banyak saham yang tidak terus naik dengan cepat.

Sekiranya semua saham naik 300 peratus, saya percaya semua orang tidak perlu be­kerja tetapi menjadi pelabur dan pedagang sepenuh masa.

Untuk pengiklanan kelas saham perlu dibuat secara berhemah dan tidak mengelirukan lebih-lebih lagi kelas pembelajaran saham yang dibuat oleh pemegang lesen berdaftar se­perti dealer dan remisier.

Ini untuk menjaga reputasi pemegang lesen berdaftar yang dikawal selia di bawah undang-undang Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Sebagai panduan pengiklanan, kita boleh membuat perbandingan dengan ayat-ayat pengiklanan yang dikeluarkan oleh syarikat broker saham, Bursa Malaysia dan Securities Industry Development Corporation (SIDC) yang tiada unsur-unsur memberi harapan atau berjanji ‘bulan dan bintang’.