Pada pukul 5 petang, Ringgit diniagakan pada 4.0010/0040 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada penutup semalam sebanyak 4.0140/0170.

Profesor Ekonomi Kajian Perniagaan Universiti Sunway, Prof. Dr. Yeah Kim Leng berkata, pengumuman pelantikan Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu adalah antara pendorong kepada peningkatan itu.

Katanya, pelantikan itu mencerminkan hala tuju pentadbiran negara yang lebih kukuh seterusnya memulihkan keyakinan dalam kalangan pelabur asing terutamanya.

Sebelum ini ujarnya, pelabur asing dilihat keluar dari negara-negara sedang pesat membangun termasuk Malaysia, apabila mereka beralih ke ekonomi maju dengan kenaikan kadar faedah luar negara yang konsisten.

“Penjualan asing berterusan disebabkan peningkatan dolar AS dan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS.

“Kombinasi faktor luar dan dalaman telah membawa kepada peningkatan aliran keluar asing ke tahap tertinggi dalam tempoh empat tahun seterusnya menyebabkan penurunan terhadap prestasi saham di Bursa Malaysia.” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Yeah yakin pelaburan asing akan meningkat dalam separuh kedua tahun ini kerana premium risiko negara yang disebabkan oleh perubahan dasar dan politik akan semakin mereda.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew berkata, Malaysia tidak bersendirian malah penjualan asing berlaku dalam seluruh pasaran sedang pesat membangun termasuk Fi­lipina dan Indonesia.

Menurut beliau, kebanyakan bank pusat di pasaran sedang pesat membangun memutuskan untuk tidak menaikkan kadar faedah mereka dalam mesyu­arat dasar monetari mereka baru-baru ini.

“Ini juga memberi tekanan kepada mata wang tempatan, menyebabkan pelabur asing terus membawa keluar wang daripada pasaran ekuiti,” katanya.