Sewaktu ditutup, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 8.56 mata kepada 1,620.9 berbanding paras 1,629.46 sewaktu ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka 2.39 mata lebih rendah kepada 1,627.07 dan bergerak dalam lingkungan 1,615.53 dan 1,627.07 sepanjang dagangan hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Dr. Nazri Khan Adam Khan menjangkakan FBM KLCI akan cenderung untuk susut ke arah paras 1,600 dalam masa terdekat ini, dipacu oleh perkembangan negatif dan kesan teknikal ke paras di bawah paras sokongan 1,630 serta akibat penyusutan nilai ringgit.

“Susulan kerugian yang dialami pada Isnin dan Selasa, bursa tempatan itu meneruskan aliran sama hari ini ketika nilai indeks itu terus susut menghampiri 0.7 peratus dan menyebabkannya turun ke paras sokongan hampir 1,600 mata,” katanya kepada Bernama.- BERNAMA