Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.16 mata kepada 1,631.33 daripada 1,630.17 sewaktu pasaran ditutup pada Jumaat lepas.

Sewaktu dibuka pagi ini, indeks petunjuk utama itu meningkat 4.78 mata kepada 1,634.95 dan susut antara 1,630.83 dan paras tertinggi harian 1,638.87 pada tengah hari.

Sentimen pasaran adalah lemah dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 595 berbanding 311 manakala 371 kaunter tidak berubah, 615 tidak didagangkan dan 31 lain digantung.

Jumlah dagangan juga susut kepada 3.13 bilion unit bernilai RM1.75 bilion daripada 3.26 bilion unit bernilai RM2.08 bilion.

Sementara itu, Penganalisis Penyelidikan FXTM, Lukman Otunuga berkata, pasaran Asia memulakan dagangan minggu ini dalam persekitaran yang menyaksikan peningkatan sentimen risiko susulan permulaan musim pendapatan terkini Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh.

“JPMorgan dan Wells Fargo memulakannya pada minggu lepas dengan pelaporan pendapatan yang lebih kukuh, sekali gus memberi keyakinan kepada kalangan pedagang ekuiti bahawa korporat AS mencatat prestasi baik dalam persekitaran ekonomi menggalakkan di negara itu.

“Maklumat seterusnya yang positif bagi baki musim pendapatan itu sepatutnya memberi kesan dari segi sentimen risiko dan membantu meningkatkan keyakinan pelabur selagi ia tidak mendedahkan sebarang keputusan atau kejutan negatif,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, faktor lain yang mempengaruhi risiko permulaan dagangan minggu ini adalah angka perdagangan luar China bagi bulan Mac yang diumumkan pada akhir minggu lepas dan turut meredakan kebimbangan mengenai penyusutan momentum ekonomi negara tersebut.

“Eksport China bagi bulan itu agak mengejutkan kerana berpihak ke arah aliran yang meningkat. Ini membuktikan bahawa permintaan global terhadap dagangan masih utuh dan akan membantu mengukuhkan ekonomi China,” katanya. - BERNAMA