Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 12.24 mata mengakhiri sama seperti ditutup pada Selasa pada 1,599.19, merupakan terendah sejak September 2015 dengan kebanyakan saham komponen indeks rendah.

Indeks dibuka rendah 2.21 mata kepada 1,609.22 pagi ini daripada 1,611.43 pada Rabu dan bergerak antara paras terendah 1,599.19 dan paras tertinggi 1,610.78.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 520 berbanding 259 dengan 348 kaunter tidak berubah, 784 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.03 bilion saham bernilai RM1.71 bilion daripada 2.55 bilion saham bernilai RM2.12 bilion semalam.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew berkata, pelabur terutamanya mereka dalam sektor runcit dalam mood pengambilan untung dan enggan mengambil langkah untuk membeli.

“Kebanyakannya memilih untuk menjual dan pengambilan untung selepas meningkat pada dua hari lepas,” katanya.

Beliau berkata, data pertumbuhan ekonomi terkini Malaysia yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia hari ini memberi impak yang minimum kepada pasaran ekuiti walaupun pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus dicatatkan pada suku pertama 2019.

“Sektor yang memberi sumbangan terbaik kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ialah pertanian dan kebanyakan yang lain mencatatkan pertumbuhan yang perlahan.

“Kita tahu segmen minyak sawit lema dan dari segi KDNK nominal, sumbangan pengeluaran pertanian mungkin tidak begitu baik. Itu sebabnya pasaran kurang menggalakkan,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, kebimbangan mengenai ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China terus mempengaruhi sentimen pelabur selepas Presiden AS, Donald Trump mengisytiharkan darurat berhubung ancaman terhadap teknologi AS. - BERNAMA