Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd. Ghani berkata, dana pinjaman tersebut adalah Skim Penjaja Kecil Cina dan Skim Pembiayaan Usahawan Perusahaan Kecil Komuniti Cina.

“Selaras dengan pembentangan Belanjawan 2018 lalu, dana pinjaman Skim Penjaja Kecil Cina dan Skim Pembiayaan Usahawan Perusahaan Kecil Komuniti Cina telah diperkenalkan dan Kementerian Kewangan telah melantik BSN sebagai bank penyelaras bagi mengendalikan skim-skim ini.

“Ia adalah bertepatan dengan hasrat Kementerian Kewangan untuk lebih telus dalam penyaluran pembiayaan melalui institusi perbankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tular di media sosial hari ini poster produk pembiayaan Skim Pembiayaan Usahawan Perusahaan Kecil Komuniti Cina yang ditawarkan BSN sehingga menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak.

“Oleh itu, melalui skim yang diperkenalkan ini, diharapkan dapat membantu para usahawan mikro dan penjaja kecil masyarakat Cina memperoleh pembiayaan yang diperlukan untuk

memperkembangkan perniagaan mereka,” kata Yunos.

Dalam pada itu, tambahnya, BSN juga sebelum ini tidak ketinggalan bersama kerajaan bagi membantu usahawan-usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) membangunkan perniagaan masing-masing.

“BSN mula memperkenalkan pembiayaan mikro kepada orang ramai pada tahun 2007, di mana ia terbuka kepada usahawan-usahawan mikro dalam membantu membangunkan perniagaan mereka seperti Bantuan Pembiayaan kepada Penduduk Tetap Kampung Baru Cina (PKBC) yang telah ditawarkan sebelum ini.

“Pembiayaan ini telah berjaya membantu para usahawan mikro mengembangkan perniagaan mereka seperti mendapatkan modal pusingan, membuat pengubahsuaian premis, membeli

perkakasan dan aset perniagaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE.