Pengarah Urusan MMC Sdn. Bhd., Datuk Norashikin Taib berkata, sebanyak 4,774 unit rumah yang merupakan kuota bumiputera dengan nilai keseluruhan mencecah RM3.45 bilion ditawarkan pada ekspo yang masuk tahun ke-11 penganjurannya itu.

Katanya, tawaran baki unit kuota tersebut melibatkan 38 pemaju perumahan dengan projek-projek di sekitar Lembah Klang termasuk di Negeri Sembilan (Seremban, Nilai dan Bandar Ainsdale), Melaka dan Puncak Alam, Selangor.

“Pakej menarik turut ditawarkan pihak pemaju kepada bakal pembeli khas sepanjang tiga hari pameran antaranya wang pendahuluan yang rendah, rebat serta diskaun bumiputera sehingga 10 peratus,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Majlis perasmian Bpex 2018 disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan hari ini.

Bpex 2018 terbuka untuk orang ramai dari pukul 11 pagi hingga 9 malam. - UTUSAN ONLINE