Naib Pengerusi BPB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata, pembelian itu adalah sangat tepat dan strategik dengan jangkaan untuk menyumbang pendapatan tambahan berjumlah RM55 juta pada tahun ini.

“Kami menyasar meningkatkan hasil buah tandan segar (FFB) di tanah Sugut ini kepada 17 tan setiap hektar dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, meningkat daripada hanya 11 tan ketika ini.

“Kami akan meniru apa yang dilakukan di Estet G&G di Sabah yang mana hasil FFB telah me­ningkat kepada 22 tan setiap hektar daripada hanya 17 tan setiap hektar antara dua tahun lalu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat agung tahunan (AGM) dan mesyuarat agung luar biasa (EGM) syarikat itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi BPB, Jeneral (B) Tan Sri Mohd. Ghazali Che Mat; Ketua Pegawai Eksekutif BPB, Fahmy Ismail; Ketua Pegawai Operasi BPB, Chow Kok Choy dan Penasihat Kewangan Kumpulan BPB, Daniel Ebinesan.

Lodin berkata, dana hasil penjualan tanah Malakoff seluas 809.37 hektar di Pulau Pinang dengan harga sekitar RM700 juta akan digunakan untuk pembeli­an tanah perladangan di Sugut itu.

“Tanah itu dilupuskan kerana memberi pulangan hasil bernilai RM7.4 juta, dan wang penjualan tersebut digunakan untuk membeli tanah di Sabah yang dijangka memberi pulangan sebanyak RM55 juta.

“Kami juga berhasrat untuk menjual lebih banyak tanah pada tahun ini sebagai sebahagian dari­pada usaha untuk meningkatkan kecekapan dengan melupuskan aset yang tidak berprestasi,” ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, prospek industri minyak sawit kekal menguntungkan tahun ini, namun kuncinya adalah dengan mengambil langkah mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh melalui teknologi.

“Harga minyak sawit mentah (MSM) juga dijangka bertambah baik dalam tempoh dua bulan akan datang disokong oleh permintaan yang lebih tinggi daripada India dan Pakistan menjelang Ramadan,” katanya.

Tambah beliau, semua ladang BPB dijangka akan mendapat pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) yang diperakui menjelang hujung tahun 2019 se­perti yang disaran oleh kerajaan.