Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong menegaskan, Malaysia juga boleh melakukan tindakan yang sama sekiranya EU meneruskan cadangan diskriminasi terhadap penggunaan minyak sawit.

Beliau berkata, Malaysia, Indonesia dan Thailand yang merupakan antara pengeluar minyak sawit terbesar dunia mengimport banyak produk dari EU.

“Meskipun begitu, kami berharap larangan minyak sawit itu tidak dilaksanakan. Namun, jika ia benar-benar dilakukan, kita juga boleh melakukan yang sama kepada EU.

“EU akan melakukan undian sama ada untuk mengecualikan biofuel kelapa sawit daripada tenaga diperbaharui dalam tempoh dua minggu akan datang,” katanya kepada pemberita selepas Dialog dan Seminar Reach and Remind Friends of the Industry di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Lee Yeow Chor.

Beliau mengulas resolusi Parlimen EU mengenai arahan baharu tenaga boleh diperbaharui yang mahu memperkenalkan satu skim sijil tunggal bagi minyak sawit untuk memasuki pasaran EU dan menghentikan secara berperingkat penggunaan biodiesel berasaskan minyak sawit menjelang 2021.

Kata Siew Keong, dakwaan EU bahawa sistem perladangan sawit menyebabkan berlakunya penebangan hutan secara besar-besarkan adalah tidak tepat.

Beliau menegaskan, kerajaan Malaysia tidak dapat menerima sekatan perdagangan yang bersifat melindungi pihak tertentu kerana ia bercanggah dengan komitmen EU kepada Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO).

“Selaku peneraju peringkat global penghasilan minyak sawit mapan, Malaysia memberi komitmen serius dalam mewajibkan semua pengeluar minyak sawit mematuhi syarat persijilan Minyak Sawit Mapan Malaysia (MPSO).

“Sekiranya EU benar-benar me­laksanakan pengharaman itu, ia akan memberi impak buruk kepada Malaysia khususnya terhadap 650,000 pekebun kecil tempatan,” katanya.

Dalam masa sama, perjanjian perdagangan bebas dengan EU masih dalam proses rundingan dan sawit kekal sebagai agenda utama.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, eksport minyak sawit dan produk berkaitan sawit disasarkan mencecah RM80 bilion pada 2018 daripada RM75 bilion tahun lalu, didorong permintaan tinggi daripada pasaran baharu.

“Pengeluaran minyak sawit di Malaysia berpotensi melebihi 20 juta tan pada 2018 daripada anggaran 19.5 juta tan tahun lalu,” jelasnya.