Menurut bank pusat itu, dana tersebut akan tersedia selama dua tahun mulai 2 Januari 2019 atau sehingga dana RM1 bilion itu habis digunakan.

Di bawah dana tersebut, pembeli rumah yang layak boleh mendapatkan pembiayaan (kon­ vensional atau Islam) pada kadar konsesi di institusi kewa­ngan yang mengambil bahagian.

“Memiliki rumah merupakan pelaburan atau komitmen utama bagi kebanyakan orang. Oleh itu, bakal pembeli rumah perlu menilai kemampuan mereka bagi memenuhi komitmen kewangan yang berkaitan dengan memiliki rumah, termasuk bayaran balik gadai janji dan per­belanjaan lain yang berkaitan.

“Bagi membantu pembeli rumah pertama kali ini, modul pendidikan kewangan dalam talian yang ringkas dan mudah akan disediakan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk pembeli rumah yang memohon pembiayaan di bawah dana ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pelancaran dana tersebut akan dilengkapi dengan pelbagai langkah untuk membantu pembeli rumah yang pendapatan bulanan RM5,000 dan ke bawah membeli rumah pertama mereka yang berharga sehingga RM300,000.

Langkah-langkah yang dijalankan untuk pembiayaan rumah yang layak daripada semua institusi kewangan itu bertujuan mengurangkan kos sampingan pemilikan rumah bagi peminjam yang berkelayakan.

Ini termasuk pengecualian duti setem, kadar yang berpatutan untuk jumlah perlindungan gadai janji dan pelepasan yuran guaman bagi perjanjian jual-beli dan pembiayaan.