Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, sepanjang program itu, para pengguna dapat melihat produk agro dan ber­asaskan bio Malaysia berkualiti tinggi, moden, memenuhi ke­per­luan keselamatan dan setaraf dengan piawaian antarabangsa.

“Bukan sahaja kami mahu meningkatkan keyakinan da­lam kalangan pengguna, kami mahu mereka berbangga de­ngan produk tempatan, menyokong perniagaan berkenaan dan menukar persepsi maksud ‘dibuat di Malaysia’,” katanya ketika berucap pada majlis pe­rasmian BioUsahawan di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin.

BioUsahawan 2019 berlangsung selama dua hari bermula 15 Mac ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corp., Dr. Mohd. Shuhaizam Mohd. Zain berkata, BioUsahawan 2019 yang pertama ini bermula dengan pelancaran produk oleh enam syarikat berstatus BioNexus, pertukaran dokumen dan pelancaran model Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP) 2.0.

“Model BCDP 2.0 yang baharu melibatkan pembiayaan dan penglibatan langsung Agrobank dan penaja swasta kepada para peserta,” katanya.

Sementara itu dalam sidang akhbar, Tze Tzin berkata, pihaknya masih meneliti sama ada terdapat sebarang aduan mengenai tanaman yang tercemar di kawasan sekitar di Su­ngai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor.

“Kami menunggu kerja-kerja pembersihan sisa toksik di Su­ngai Kim Kim selesai dan barulah kami menghantar petugas untuk membuat pemeriksaan.

“Jika terdapat produk tanaman yang terkesan, kita terpaksa menghapuskannya nanti,” katanya.