Ketua Pegawai Eksekutif baharunya, Dr Mohd Shuhaizam Mohd Zain berkata kajian itu dibuat berdasarkan kepada permintaan dan kemaskini teknologi.

"Kami perlu mengkaji semula beberapa dasar kami memandangkan banyak perkara yang sentiasa berubah pada setiap tahun. Kami juga perlu melihat permintaan dan ia melibatkan proses, serta teknologi yang sedia ada.

"Kami perlu menjadi lebih fleksibel bagi memenuhi keperluan teknologi yang akan datang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

BTP yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Okt 2012, bertujuan bagi memajukan industri berasaskan bio dan pada masa yang sama, bertindak sebagai platform khusus kepada sektor swasta untuk menyalurkan dan memaksimumkan peluang komersialnya.

BTP disasarkan memberi sumbangan sebanyak RM48 bilion kepada jumlah pendapatan negara kasar termasuk mewujudkan 170,000 pekerjaan dan menarik pelaburan RM50 bilion menjelang 2020. Ia dibuat tanpa mengambil kira gangguan daripada krisis ekonomi yang telah menjejaskan majoriti sektor berkenaan, khususnya biofarma," kata Mohd Shuhaizam sambil menambah bahawa kajian semula itu akan dijalankan dengan mebabitkan maklum balas industri.

Katanya, pada masa sekarang, Bioeconomy Corp sedang menyediakan satu kajian pasaran untuk mengenalpasti sektor dan negara-negara yang mampu menjana lebih banyak hasil bagi syarikat-syarikat bionexus yang bercita-cita untuk meneroka ke luar negara.

Kajian pasaran ini dijangka akan disiapkan menjelang akhir tahun, bertujuan membantu syarikat-syarikat bionexus untuk menguasai antara 25 peratus dan 30 peratus peluang daripada pasaran bernilai US$10 juta dalam industri berasaskan pertanian dan tenaga yang boleh diperbaharui.

Sehingga sekarang, Bioeconomy Corp, yang menjadi peneraju pembangunan bagi industri berasaskan bio, menaungi sebanyak 286 syarikat berstatus BioNexus. - BERNAMA