Pengarah Urusannya, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd. Nor berkata, nilai buku tempahan gabungan BHIC dan syarikat-syarikat bersekutu berjumlah kira-kira RM6 bi­lion.

Katanya, BHIC bercadang untuk terus memanfaatkan prospek yang ditawarkan oleh Program Transformasi 15 ke 5 TLDM yang bakal menghasilkan tempahan kapal baharu dan lebih banyak kerja-kerja penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) untuk limbungan kapal BHIC.

“Antara projek penting ialah membina sebanyak empat Kapal Misi Pesisir (KMP) bagi TLDM. Kami jangka untuk membekalkan KMP pertama kepada TLDM menjelang 2019 manakala projek Kapal Tempur Pesisir kami sedang dilaksanakan mengikut jadual.

“Penganugerahan projek bagi fasa pertama program transformasi akan diumumkan pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) minggu hadapan,” katanya kepada pembe­rita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BHIC di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi BHIC, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.

Program Transformasi 15 ke 5 TLDM yang membabitkan tempoh 30 tahun mulai 2020 hingga 2050 memerlukan kira-kira 40 kapal pelbagai kelas. Sebanyak 14 daripadanya ialah KMP, enam unit Kapal Peronda (PV), dua unit Kapal Sokongan Pelbagai Peranan (MRSS) dan 18 unit kapal pemintas.

BHIC terus giat mengkaji prospek yang akan membolehkan entiti berpangkalan di Malaysia berkenaan untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai satu daripada pemain industri berat yang berwibawa dan bertumpukan teknologi.

Ahmad Ramli berkata, projek itu bukan sahaja me­­ng­u­kuhkan tem­pahan kumpulan tetapi mem­beri sumba­ngan penting dalam mengukuhkan aset pertahanan dan juga tenaga kerja maritim negara.

Jelas beliau, BHIC sedang me­ninjau peluang untuk mendapatkan kontrak daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk terus meluaskan capaian kumpulan.

“BHIC ketika ini memberi lebih tumpuan kepada kontrak dengan TLDM dan mengurangkan penggantungan kepada segmen komersial. Tetapi, tidak bermaksud kami mengenepikan sepenuhnya segmen komersial.