Sidang kemuncak tersebut dihadiri lebih 1,000 perwakilan dari seluruh dunia dengan lebih 50 pakar membentangkan kertas kerja. Topik perbincangan tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi digital global dipacu oleh Internet of Things (IoT) atau Internet Saling Berhubung, yang turut menjadi intipati ucapan Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Schneider, Jean-Pascal Tricoire.

Dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi digital global, Schneider yang merupakan peneraju dalam transformasi digital, pengurusan tenaga dan automasi, turut melancarkan platform EcoStruxure World Premium, mengandungi tiga aplikasi iaitu EcoStruxure Teknologi Maklumat (IT), EcoStruxure Bangunan dan EcoStruxure Platform Perisian Industri bagi memenuhi keperluan inovasi industri serta perniagaan di semua peringkat.

Turut ditekankan sepanjang persidangan adalah inovasi yang merupakan elemen penting bagi sesebuah entiti perniagaan dan industri untuk kekal bersaing dalam persekitaran ekonomi digital iaitu ekonomi yang berasaskan teknologi komputer. Ekonomi digital juga dipanggil ekonomi internet, ekonomi baharu atau ekonomi web.

Ekonomi digital pada hari ini dianggarkan bernilai lebih AS$3 trilion (RM12.69 trilion) iaitu bersamaan lebih 30 peratus nilai bursa saham Amerika Syarikat (AS), S&P 500 atau enam kali ganda defisit dagangan tahunan AS. Nilai ekonomi digital juga dianggarkan melebihi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) United Kingdom yang bernilai AS$2.619 trilion (RM11.08 trilion) pada tahun 2016.

Berdasarkan angka tersebut, bayangkan betapa besarnya nilai ekonomi digital global. Ekonomi digital mampu meningkatkan perolehan syarikat berkali-kali ganda dengan kos dan guna tenaga yang jauh lebih efektif. Berdasarkan sidang kemuncak itu, ternyata banyak negara, syarikat-syarikat gergasi sudahpun mengorak langkah untuk mendepani dan mendominasi era tersebut.

Malaysia juga sebenarnya tidak ketinggalan untuk bersaing dan merebut peluang yang wujud dalam dunia perniagaan berkenaan. Kesediaan Malaysia itu dapat dilihat melalui komitmen dan usaha berterusan kerajaan dalam mempersiapkan infrastruktur bagi memacu pertumbuhan ekonomi digital di dalam negara.

Buktinya, hasil usaha kerajaan menyaksikan Malaysia mempunyai kadar penembusan internet sebanyak 70 peratus, jauh lebih tinggi daripada kadar purata Asia iaitu sekitar 38.5 peratus. Teknologi internet merupakan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi digital.

Dengan kadar penembusan internet yang tinggi membolehkan syarikat-syarikat dan rakyat Malaysia umumnya mempunyai akses dan keterhubungan pada waktu sebenar dengan mana-mana perniagaan dan perindustrian di seluruh dunia.

Pun begitu, wujud kebimbangan mengenai kesediaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam menghadapi ledakan tersebut. PKS merupakan komponen penting ekonomi Malaysia yang menurut laporan, menyumbang kira-kira satu pertiga daripada KDNK dan menyediakan pekerjaan kepada berjuta-juta pekerja.

Kerajaan mengunjurkan sumbangan PKS kepada KDNK meningkat kepada sekitar 40 peratus menjelang tahun 2020 berbanding kira-kira 32 peratus pada 2012. Maka itu, pembangunan sektor ini amat penting bagi memastikan pertumbuhan yang seimbang ketika Malaysia mahu mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Lantaran itu, bagi memastikan lebih banyak syarikat Malaysia khususnya PKS bersedia dengan ledakan ekonomi digital, Presiden Negara Schneider Electric (Malaysia) Sdn. Bhd., Soo Pow Leong berharap kerajaan dapat menyediakan insentif khas dalam bajet 2018 kepada syarikat atau perusahaan yang melabur membangunkan infrastruktur IoT bagi mendepani era ekonomi digital.

Ini kerana, PKS yang kebanyakannya bersaiz kecil dirasakan kurang berkemampuan dan kurang memberi perhatian kepada usaha mempersiapkan perniagaan mereka bagi menghadapi persaingan sengit dunia baharu perniagaan sama ada sesama mereka, lebih-lebih lagi saingan daripada syarikat-syarikat asing di peringkat domestik dan antarabangsa.

Adalah diharapkan, dengan insentif yang diberikan kerajaan kelak, syarikat-syarikat Malaysia khususnya PKS tidak ketinggalan dalam membuat persediaan bagi mendepani ledakan persaingan dalam era ekonomi digital yang sememangnya tiada batas sempadan dan waktu.