Rata-rata berpendapat pasaran hartanah masih berdepan dengan kelembapan untuk suku seterusnya dan mempersoalkan bagaimana plat­form pendanaan ini boleh memberi manfaat kepada pembeli atau hanya memenangkan pemaju semata-mata. 

Menurut Kenanga Research, dalam tempoh jangka sederhana, sistem itu akan melonjakkan sentimen dalam sektor hartanah tetapi bergantung kepada skala pelaksanaannya yang akan menentukan sejauh mana prestasi sektor hartanah dalam tempoh jangka panjang. 

Malah, ia berpotensi mewujudkan risiko sistemik kepada sektor hartanah dan perbankan, yang secara tidak langsung memberi impak kepada ekonomi di peringkat domestik. 

“Bagaimanapun, kami percaya kebanyakan pemaju akan menyokong inisiatif ini memandangkan ia adalah sumber alternatif bagi pembiayaan akhir pembeli rumah. Pendekatan yang lebih baik adalah sekiranya skim ini adalah untuk membia­yai projek rumah mampu milik oleh kerajaan dan hanya kepada mereka yang terpilih. 

“Kami juga melihat kekangan utama dalam perkara ini ialah soal kemampuan untuk membayar dalam tempoh jangka pendek daripada margin pembiayaan yang ideal untuk pembeli rumah pertama, berbanding komitmen bulanan,” katanya dalam nota kajian baru-baru ini. 

Menerusi konsep FundMyHome, pembeli rumah pertama perlu membayar 20 peratus daripada harga rumah dan bakinya akan disumbangkan menerusi institusi terlibat. Pembeli rumah mempunyai pilihan sama ada untuk menjual atau terus meng­huni kediaman masing-masing selepas tempoh komitmen tetap, iaitu lima tahun.

Mereka yang memilih untuk terus mendiami kediaman boleh membiayai semula rumah menerusi FundMyHome.com atau menerusi pinjaman bank, yang ketika ini merangkumi Kumpulan Maybank dan CIMB.

Portal hartanah, EdgeProp.my selaku penyelaras mekanisme terbaharu pemilikan rumah, menerusi FundMyHome.com akan menawarkan kira-kira 1,000 unit kediaman pada fasa pertama pelancaran, merangkumi nilai hartanah bawah RM500,000.

Penawaran hartanah berke­naan membabitkan sembilan pemaju iaitu EcoWorld Development Group Berhad; IJM Land Berhad; IOI Properties Group Berhad; Mah Sing Group Berhad; Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS); Permodalan Nasional Berhad (PNB) Development Sdn Bhd; Sunway Berhad; Trinity Group Sdn Bhd dan UEM Sunrise Berhad.

Suruhanjaya Sekuriti dalam kenyataan Isnin lalu, memberitahu akan menyemak butiran struktur yang dicadangkan dan Garis Panduan Pasaran yang Diiktiraf untuk memudahcarakan pewujudan platform pendanaan ramai hartanah seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019.
Maybank IB Research pula berkata, platform tersebut akan membantu pemaju mencapai jualan hartanah yang lebih baik dan mengurangkan hartanah tidak terjual dengan mengurangkan beban bayaran pendahuluan. 

“Kami melihat ia adalah se­suatu yang positif, kerana akan menjadi platform alternatif kepada pembeli rumah kali pertama walaupun kami menjangkakan ia diperkenalkan pada Januari 2019 bersama kempen pemilikan rumah,” katanya. 

Namun, RHB Research tidak pasti sejauh mana keberkesanan platform pendanaan ramai itu kerana terdapat pemaju tidak mempunyai produk yang bersesuaian iaitu unit rumah berharga di bawah RM500,000 untuk dijual menerusi sistem ini. 

“Disebabkan ada sebahagian mereka keberatan untuk me­ngorbankan margin keuntu­ngan masing-masing, mengakibatkan mereka tidak bersedia untuk meletakkan produk yang boleh dipasarkan untuk dijual di bawah platform ini,” katanya.  

Firma penyelidikan, Ambank Research pula berpendapat walaupun inisiatif kerajaan itu sewajarnya dipuji tetapi mekanisme tersebut masih belum dilaksanakan dan kemungkinan memerlukan tempoh masa ter­tentu untuk melihat hasilnya. 

“Secara keseluruhan kami melihat, pasaran hartanah masih kekal lemah dan memerlukan masa untuk kembali pulih,” katanya.