Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Tengku Khairi A. Rahman berkata, pihaknya menerima beberapa aduan berkaitan kewujudan tawaran itu yang mengaitkan nama YPU di samping mewajibkan keanggotaan dalam pertubuhan politik.

Tegasnya, YPU tidak pernah melantik mana-mana individu atau pihak untuk menjadi ejen dalam skim tersebut.

“Modus operandi skim tersebut menyasarkan peniaga kecil dan syarikat baharu yang mempunyai jumlah modal kecil, malah, dana itu dikatakan menjanjikan pulangan berkali ganda dalam tempoh tertentu.

“Bagi pihak pengurusan saya menafikan sekeras-kerasnya penglibatan YPU dalam pemberian geran atau dana tersebut kepada mana-mana pihak,” katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu, Tengku Khairi menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan apa jua tawaran dana yang menggunakan nama agensi berkenaan.

Justeru, beliau meminta orang ramai agar membuat semakan dengan pejabat YPU di talian 09-6242424 terlebih dahulu sekiranya didatangi atau dihubungi individu tidak dikenali berkenaan skim tersebut.