Dalam pelaburan di negara ini, tidak dinafikan pelabur dan pedagang saham tidak sentiasa mendapat nasihat atau bimbingan pelaburan. Pelabur dan pedagang saham hanya mendapat artikel penyelidikan tetapi tidak semua syarikat broker saham yang menyediakannya kepada pe­langgan.

Ceramah saham atau pe­laburan pula hanya dibuat sekali-sekala sahaja dengan cara menjemput para pelanggan. Itu pun tidak semua syarikat broker saham atau bank pelaburan yang menganjurkan majlis seperti itu.

Pemegang lesen berdaftar sama ada dealer mahupun remisier juga tidak dibenarkan untuk memberi nasihat pelaburan kepada pelanggan apatah lagi saranan membeli kepada pelanggan. Mereka hanya dibolehkan untuk memberi maklumat pasaran yang sahih sahaja serta melakukan tugas yang telah digariskan oleh Bursa Malaysia.

Walau bagaimanapun, pemegang lesen berdaftar tetap memberikan perkhidmatan yang tidak bercanggah dengan undang-undang Bursa Malaysia walaupun bidang tugas utama mereka ialah mengambil pesanan jual dan beli daripada pelanggan.

Oleh kerana dengan adanya urus niaga dalam talian, pe­langgan telah kurang me­ngguna­kan khidmat wakil peniaga ini kerana pelanggan boleh membuat jual beli sen­diri. Dengan kemudahan urus niaga dalam talian ini, pelanggan men­dapat caj pembrokeran yang rendah dibandingkan jika menggunakan khidmat re­misier.

Justeru, banyak broker saham telah mengurangkan atau tidak lagi memerlukan khidmat wakil peniaga ini lebih-lebih lagi remisier. Dengan kurangnya bilangan remisier kerana sebahagiannya telah berhenti, pelabur dan pedagang saham terpaksa membuat kajian dan analisis sendiri atau mencari maklumat pasaran sendiri.

Oleh sebab ini juga, pelabur dan pedagang masa kini sa­ngat menggemari menyertai kumpulan-kumpulan saham di media sosial, telegram dan kumpulan WhatsApp untuk membantu mereka mendapatkan senarai saham-saham berpotensi serta menyediakan maklumat pasaran terkini setiap hari.

Dengan pengurangan jumlah wakil peniaga berlesen atau remisier, pelabur dan pedagang saham baharu sa­ngat mudah membuat kesi­lapan lebih-lebih lagi yang tidak mempunyai pengetahuan dan asas-asas pasaran saham. Pe­labur dan pedagang saham baharu diibaratkan seperti seorang bayi yang tidak tahu apa-apa dan terpaksa mencari haluan sendiri.

Walaupun muncul banyak kelas dan seminar saham, me­reka mendapat bimbingan dan tunjuk ajar setakat itu sahaja. Jika ada khidmat soko­ngan selepas tamat belajar, ia bukan khidmat sokongan yang berterusan atau kekal.

Selain itu, dengan pengurangan wakil peniaga berlesen ini, tugas-tugas mereka telah diambil oleh individu-individu yang tidak diketahui latar belakang di dalam pasaran saham. Daripada apa yang dilihat dalam suasana sekarang, sesiapa sahaja boleh memberikan pendidikan saham kepada orang ramai tanpa peman­tauan dari pihak-pihak ter­tentu.

Tenaga pengajar juga tidak memberikan profil diri, kelaya­kan atau latar belakang serta pengalaman. Persoalannya, ada­kah orang ramai diberikan mak­lumat yang betul daripada individu-individu tersebut?

Walaupun seminar dan ke­las saham tumbuh seperti cendawan, daripada maklum balas yang diperoleh melalui mesej-mesej peribadi, ramai yang memberitahu bahawa mereka mengalami kerugian walaupun telah mengikuti pembelajaran saham.

Apabila ditanya siapakah tenaga pengajar tersebut, ada yang tidak tahu langsung latar belakang atau maklumat tenaga pengajar itu. Ini amat merisaukan kerana semakin banyak aduan diterima hampir setiap hari.

Dan pelabur serta pedagang saham baharu ini tidak tahu kepada siapa dan bagaimana untuk membuat rujukan jika mempunyai apa-apa kemusykilan tentang saham. Terdapat juga individu-individu yang tidak dikenal pasti latar belakang dan kelayakan menawarkan perkhidmatan nasihat pelaburan kepada orang ramai.

Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, silalah mem­buat pelaburan saham de­ngan terus pergi ke syarikat broker saham yang terdekat sama ada berdekatan kediaman atau pejabat. Berurusan dengan dealer atau remisier atau rujuk kepada mana-mana pegawai yang dikhaskan di syarikat broker saham atau bank pelaburan.

Berhati-hati dalam mendapatkan pendidikan saham atau nasihat pelaburan daripada mana-mana individu. Carilah mereka yang berpengalaman, diiktiraf serta dapat memberi latar belakang, profil diri serta maklumat peribadi.