Ketua Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) Malaysia, Edward Ling berkata, berdasarkan laporan ACCA yang diterbitkan pada tahun lalu majoriti akauntan profesional berpandangan bahawa etika memainkan peranan penting dalam mencorak hasil kerja serta kebolehpercayaan sesuatu maklumat.

Menurutnya, orang ramai akan menilai sejauh mana peribadi akauntan itu mampu memberi impak kepada organisasi dan masyarakat secara amnya.

“ACCA memperkenalkan Modul Kemahiran Profesional dan Etika (EPSM) pada 2017 bagi memastikan akauntan di Malaysia sentiasa menjaga kredibiliti, beretika dan berkemahiran profesional dalam kerjaya mereka.

“Menerusi modul ini kami memperluaskan pembelajaran me­langkaui keupayaan teknikal bagi graduan-graduan ACCA. Langkah berkenaan seiring de­ngan tumpuan kami terhadap kriteria yang diperlukan untuk membentuk seorang akauntan yang profesional,” katanya dalam majlis ACCA Walk The Talk Treasure Hunt di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Jawatankuasa Penasihat ACCA Malaysia, Datuk Merina Abu Tahir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount Corporation Berhad, Jeffrey Chew dan Ketua Pendidikan ACCA, Helmy Mohtar.

Menurutnya, Malaysia tidak pernah terlibat dengan isu besar yang melibatkan kerjaya akauntan seperti Enron Corporation yang berlaku di Amerika Syarikat.

“Walaupun tadbir urus korporat begitu baik, namun ia perlu diperkukuhkan lagi melalui latihan dan pendedahan sebenar kepada akauntan muda bagi menyediakan mereka dengan kemahiran profesional selari dengan revolusi industri keempat (IR 4.0) selain perkembangan pesat media digital.

“Selain itu, jangkaan daripada masyarakat yang sangat tinggi telah meningkatkan standard profesion ini ke tahap baharu. Seseorang individu perlu memiliki keupayaan untuk berfikir, menilai dan bertindak secara adil bagi membuat keputusan yang berwibawa dan bermaklumat,” kata beliau.