Pembeli bertuah tersebut ialah Radzween Abdul Razak yang berjaya memenangi sebuah kereta Toyota Camry.

PNB Development Sdn. Berhad (PNBD) dalam kenyataan berkata, seramai 40 pembeli bertuah telah dipilih sebagai pemenang cabutan bertuah dalam Gempak Property Gala 2019 yang akan berlangsung hari ini.

Jelas kenyataan itu, pihaknya menawarkan hadiah utama berupa Toyota Camry itu kepada individu yang telah membeli dan menandatangani perjanjian jual beli dari 15 Ogos hingga 30 November 2018.

“Gempak Property Gala 2019 telah masuk tahun keempat penganjurannya sebagai tanda penghargaan syarikat kepada pembeli yang membeli hartanah di Kota Seriemas.

“Tujuan lain program ini adalah mempromosikan perbandaran Kota Seriemas kepada penduduk setempat dan orang awam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas PNBD, hadiah lain yang turut dimenangi para pembeli bertuah dalam Gempak Property Gala 2019 adalah sebuah Perodua Myvi, dua baucar pelancongan untuk dua orang bernilai RM10,000 dan 36 buah basikal.

“Kami turut menyediakan bas kepada pengunjung Gempak Property Gala 2019 yang ingin melihat sendiri keindahan dan kemudahan Kota Seriemas selain menganjurkan pelbagai acara menarik antaranya bual bicara hartanah yang dikendalikan oleh pakar hartanah, Ahyat Ishak dan Akmal Nizam,” katanya. - UTUSAN ONLINE