HARON TAMBY CHIK
HARON TAMBY CHIK 

Pengerusi syarikat pengimport kenderaan mewah terpakai, DTC Motors Sdn. Bhd., Datuk Haron Tamby Chik berkata, sudah sekian lama pengusaha kenderaan import terpakai yang memiliki AP dibelenggu dengan masalah bayaran levi sebanyak RM10,000 yang dikenakan ke atas mereka selain daripada bayaran-bayaran lain yang terpaksa ditanggung.

"Sejak dari pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) lagi sudah disuarakan agar levi AP sebanyak RM10,000 yang dikenakan ke atas setiap kenderaan atau kereta mewah terpakai yang diimport, dikurangkan ataupun kalau boleh dimansuhkan namun permintaan ini tidak dilaksanakan.

"Pemilik AP juga terpaksa menanggung duti kastam 200 peratus dan jumlah ini adalah tinggi yang sebenarnya, duti kastam yang dibayar ini adalah yang kedua tertinggi di dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran DTC Motors Sdn. Bhd., dan sekaligus, memperkenalkan variasi koleksi kereta-kereta mewah baharu yang terletak di Jalan Ampang, disini, semalam. Hadir sama, Pengarah Urusan DTC Motors Sdn. Bhd., Md Afendy Wahid.

OPERASI DTC MOTORS

DTC Motors Sdn. Bhd., beroperasi sejak tahun 1984 sebagai syarikat pengimport kenderaan mewah terpakai beroperasi di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. - UTUSAN ONLINE/HASNURUL MOHAMED

Haron berkata, kerajaan baharu hari ini seharusnya mempertimbangkan dengan sewajarnya untuk mengurangkan levi AP yang dikenakan selama ini sehingga 50 peratus kerana syarikat-syarikat yang mengendalikan perniagaan kenderaan import mewah terpakai sememangnya dibebani dengan kadar levi yang dikenakan.

Lagipun, ujar Haron, kos operasi syarikat dan gaji kakitangan juga semakin meningkat dan itu semestinya membebankan pemilik syarikat penjualan kenderaan mewah import terpakai.

Menurut Haron lagi, satu lagi cukai yang ditanggung oleh pemilik AP ialah cukai korporat sebanyak 24 peratus.

"Sama ada syarikat membuat keuntungan atau pun tidak, cukai korporat 24 peratus ini juga dikenakan ke atas kami. Maka itulah, diharapkan bebanan yang ditanggung oleh kami semua dalam keadaan ekonomi negara yang tahun ini tidak menunjukkan peningkatan ketara, dapatlah dikurangkan levi AP yang dikenakan ke atas kami," ujarnya.

Menjawab soalan pemberita, Haron berkata, untuk suku pertama tahun ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dianggarkan meningkat sedikit iaitu 4.7 peratus berbanding tahun 2018, KDNK 4.5 peratus.

Untuk rekod, pada 23 Disember lalu, Utusan Online melaporkan, Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) mendesak agar bayaran levi sebanyak RM10,000 untuk setiap permit import (AP) bagi kenderaan import terpakai dimansuhkan.

Rasional desakan pemansuhan levi AP ini adalah bagi membantu pengusaha kenderaan import terpakai kembali bertapak dalam negara.

DTC CARS
KENDERAAN mewah terpakai diimport dari luar negara dipamerkan di DTC Motors Sdn. Bhd., Jalan Ampang, Kuala Lumpur. - UTUSAN ONLINE/HASNURUL MOHAMED

Berbalik kepada pelancaran DTC Motors Sdn. Bhd., Haron berkata, tahun lepas, kuota AP sebanyak 120 yang diperoleh berjaya dipenuhi dan semestinya, ujar beliau, bagi tahun 2019 ini, sasaran jualan mereka berdasarkan kepada kemampuan praktikal.

MD AFENDY WAHID
MD AFENDY WAHID 

Sementara itu, Md Afendy Wahid berkata, dalam menjalankan pernaigaan kenderaan import mewah terpaksai, syarikat lebih menekankan kepada kualiti kerana kebanyakan pengusaha kenderaan import terpakai hanya menekankan kepada volume.

"Di sini, kami mementingkan dan menjaga pelanggan yang mana faktor perkhidmatan selepas penjualan adalah keutamaan kami. Maka itulah, kami tidak cakap yang di DTC, kenderaan import di sini murah atau mahal sebaliknya, perkhidmatan kami bagus dan berkualiti," katanya.

Afendy menambah, kenderaan yang dijual di DTC Motors adalah mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh kementerian dan jalinan kerjasama dengan EZCare yang menawarkan jaminan kepada pelanggan antara satu sehingga tiga tahun.

"Jaminan atau warranty ini termasuk alat ganti kenderaan merangkumi 14 item dan yang paling istimewa buat pelanggan DTC Motors ialah EZCare menawarkan perkhidmatan servis dari pintu ke pintu," katanya. - UTUSAN ONLINE