Pengarah Urusannya, Tan Sri Lim Hock San berkata, trend pembatalan pembelian rumah berkenaan dilihat serius malah menyebabkan LBS mencatatkan jumlah jualan belum dibilkan sebanyak RM1.75 bilion setakat 31 Disember 2018.Katanya, pembatalan itu didorong langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengetatkan peraturan bagi pembiayaan perumahan.

“Strategi kami kali ini adalah menumpukan kepada lebih banyak unit mampu milik di kawasan pembangunan baharu yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan jalan penghubung, reka bentuk cantik bagi terus mendapat sambutan menggalak­kan oleh pasaran. Ini telah membantu kami dalam mengharungi suasana pasaran yang mencabar.

“Kami akan lebih berhati-hati dalam melancarkan projek baharu kerana kami mahu menjual sebanyak 90 peratus daripada projek berkenaan. Jika tidak, akan terdapat banyak hartanah tidak terjual,” katanya dalam taklimat media unjuran LBS 2019 di sini hari ini.

Pemaju hartanah, LBS menyasarkan untuk meraih jualan bernilai RM1.5 bilion pada tahun ini, rendah sedikit daripada RM1.526 bilion dicatatkan pada 2018.Hock San berkata, sasaran itu realistik dengan mengambil kira landskap industri yang kurang memberangsangkan, ditambah pula dengan sentimen berhati-hati yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi perlahan.

“Enam bulan pertama (landskap hartanah pada 2019) akan sukar, tetapi bagi enam bulan lagi kami berharap ia bertambah baik.

“Pada tahun ini, sebanyak tiga projek besar bakal dilancarkan di Lembah Klang iaitu kawasan pembangunan baharu [email protected], kawasan pembangunan baharu LBS Alam Perdana dan Residensi Bintang Bukit Jalil. Kesemua projek ini akan menyumbang secara signifikan sehingga RM1.2 bilion kepada jualan,” katanya.

LBS mengunjurkan untuk melancarkan beberapa pembangunan baharu dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.82 bilion pada 2019.