Antara projek yang ditawarkan ialah pembangunan Pelabuhan Antarabangsa BojoNogoro, Jalan Tol sepanjang 80 kilometer antara Ibu Kota Banten iaitu Serang ke Panimbang, Terminal Terpadu Cilegon dan pembangunan Kawasan Ekonomi Khusus Provinsi Banten.

Perkara ini dinyatakan oleh Gabenor Banten, Rano Karno dalam pertemuan dengan beberapa ahli perniagaan Malaysia yang di ketuai oleh tokoh perniagaan Malaysia di Indonesia, Datuk Dr. Fauzi Mohamad, di Banten, dekat sini, baru-baru ini.

Turut serta dalam pertemuan kira-kira sejam di pejabat gabenor itu ialah beberapa orang ahli Kamar Dagang dan Industri (Kadin) Banten serta Gabungan Kontraktor Indonesia (Gakindo) Banten,

Menurut Fauzi, perjumpaan dengan Rano adalah susulan lawatan kerja Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed ke Jakarta baru-baru ini yang mengadakan perbincangan dengan beliau dan Kadin serta Gakindo dalam usaha meningkatkan hubungan dagang antara kedua-dua negara.

“Dalam pertemuan dengan Rano, saya juga telah menyampaikan jemputan daripada Mustapa untuk Gabenor Banten melawat Malaysia dan membincangkan kerjasama perdagangan yang boleh dilaksanakan.

Rano menerima baik jemputan tersebut dan akan menetapkan tarikhnya,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Provinsi Banten dengan 14 juta orang penduduk merupakan wilayah paling strategik di Indonesia yang bersempadan dengan Jakarta dan menjadi tunjang kepada pembangunan ibu kota Indonesia itu. – UTUSAN