Penganalisis hartanah, Ishak Ismail berkata, ini kerana bank sedia ada tertakluk kepada peraturan ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan beroperasi dengan ber­orientasikan keuntungan sekali gus menyukarkan usaha berkenaan.

Katanya, difahamkan kebanyakan permohonan tidak diluluskan kerana pemohon tidak mempu­nyai dokumen seperti slip gaji dan penyata pendapatan yang diperlukan pihak bank dengan sebahagian besarnya adalah mereka yang bekerja secara kecil-kecilan.

“Konsep sebegini pernah dicetuskan oleh seorang dermawan di India dan kemudiannya idea itu diambil oleh kerajaan bagi melaksanakan bank pusat sosial. Pada asalnya, ia adalah untuk kemudahan mikro kredit yang kemudiannya diperluaskan untuk pembiayaan rumah.

“Sekiranya, ada mekanisme pembiayaan yang lebih longgar, sudah tentu ia sangat baik. Antaranya, bank ini boleh berpe­ranan seperti mikro kredit untuk peniaga, iaitu dengan mewujudkan satu unit khusus untuk bantu mereka membuka akaun khas yang tidak memerlukan dokumen pendapatan atau slip gaji ,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perkara tersebut terkan­dung dalam Manifesto BN yang dilancarkan 7 April lalu bagi memudahkan pinjaman Perumahan Mampu Milik dan Perumahan Kos Rendah berharga RM300,000 ke bawah.

Menurut BNM dalam laman webnya, housingwatch.my, data daripada Perbelanjaan Isi Rumah dan Tinjauan Pendapatan 2016 menunjukkan pendapatan median isi rumah di Malaysia pada RM5,228 sebulan, harga rumah median sebanyak RM313,000 dianggap sebagai berkemampuan.

Didapati rumah di Sabah, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang adalah paling tidak mampu dimiliki dengan mengambil kira tahap pendapatan isi rumah. Di pusat bandar utama, rumah pa­ling tidak mampu dimiliki ialah di Georgetown dengan satu daripada harga median paling tinggi iaitu RM600,000 dengan pendapatan median paling rendah, RM5,477 sebulan.

BNM dalam Laporan Perkembangan Risiko dan Penilaian­ Kestabilan Kewangan Pada 2017 menunjukkan sebanyak 515,021 permohonan pinjaman diterima oleh bank pada 2017 berbanding 450,924 permohonan pada tahun sebelumnya dengan 61 peratus daripadanya adalah untuk pembelian rumah berharga di bawah RM500,000.

Menurut Ishak, antara cadang­an lain yang boleh dirangka di dalam bank tersebut termasuklah melanjutkan tempoh pembia­yaan melebihi 30 tahun supaya mereka boleh membayar ansuran bulanan yang rendah.

“Selain itu, terdapat juga ke­perluan untuk bank ini menawarkan pilihan sewa beli iaitu skim yang membolehkan mereka menyewa rumah untuk tempoh ter­tentu sebelum rumah itu menjadi hak milik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan dan Perancangan Strategik Rahim & Co., Sulaiman Akhmady Mohd. Saheh berkata, institusi perbankan menerusi Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM) boleh berbincang dan be­kerjasama dengan Kementerian Kewangan supaya dapat mewujudkan situasi menang-menang dan memberi manfaat kepada pembeli rumah pertama.

“Menubuhkan satu lagi bank baharu mungkin memakan masa tetapi apa yang boleh dibuat ialah mempertimbangkan satu insentif atau program dana khas menerusi bank supaya dapat membantu mereka yang memerlukan.

“Selain itu, kerajaan juga boleh menggunakan platform sedia ada seperti Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk melaksanakan program-program berkaitan seperti membantu pemilikan rumah,” katanya.