“Laporan itu tidak betul dan juga tidak wujud rancangan sedemikian,” demikian menurut Bank Rakyat dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada Bernama di sini hari ini.

Malah, jelas Bank Rakyat, pihaknya sedang dalam perancangan bagi melancarkan kempen pemasaran untuk mempromosi produk dan perkhidmatan kepada ahli dan pelanggan sempena Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.

Dalam laporan berkenaan, Bank Rakyat menjadi sebahagian daripada tumpuan pengambilalihan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang dalam perancangan untuk menggabungkan sektor kewangan.

Menurut laporan itu yang memetik sumber rapat kepada industri, idea tersebut sedang berlegar dalam industri dan antara institusi yang mahu menerokai pengambilalihan itu ialah PNB.

Selain itu, bank konvensional tempatan juga dikatakan berminat dengan Bank Rak­yat.

Bagaimanapun, jelas sum­ber itu, perkara ber­kenaan masih di peringkat awal.

PNB merupakan sya­rikat pe­ngurus dana terbesar negara, mempunyai tiga institusi kewangan utama di bawahnya dan dipercayai terbuka kepada idea untuk mengambil alih Bank Rakyat dalam usaha membawa kepada penciptaan nilai di antara Bank Rakyat dan syarikat-syarikat PNB yang dikawal.

Selain MIDF, PNB juga mempunyai pegangan dalam Malayan Banking Bhd. (Maybank) yang merupakan bank terbesar di negara ini dan juga mempunyai kemunculan di peringkat serantau.

Pada 20 Februari lalu, MIDF dilaporkan tetap meneruskan hasrat untuk menjadi sebuah institusi perbankan sepenuh­nya dan sedang membuat kajian pasaran berhubung perkara tersebut.

Malah, MIDF akan mempertimbangkan semua peluang yang ada termasuk penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dengan bank-bank yang memenuhi keperluannya dan sedang meninjau dua institusi perbankan yang sesuai dengan satu daripada­nya dari luar negara. Tetapi setakat ini belum mengadakan sebarang perbincangan lebih lanjut.

Dalam pada itu, PNB juga mempunyai pegangan 60 peratus dalam MNRB Holdings Bhd., satu-satunya syarikat insurans semula (reinsurer) negara.

Bagaimanapun, PNB ketika dihubungi Utusan Malaysia tidak memberi komen berhubung perkara tersebut.

Bank Rakyat yang mempunyai 147 cawangan di seluruh negara mempunyai aset berjumlah RM99.3 bilion setakat September 2016 dan merupakan institusi kewangan Islam kedua terbesar di Malaysia selepas Maybank Islamic Bhd.