Menurut bank tersebut, pening­katan berkenaan didorong oleh pertumbuhan pendapatan teras yang kukuh terutamanya daripada pembiayaan runcit dan aktiviti perbendaharaan.

Jelasnya, keuntungan bersih kumpulan meningkat sebanyak 10.48 peratus kepada RM884 juta berbanding RM800 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

“Pendapatan teras meningkat kepada RM3.13 bilion bagi separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2017, berbanding RM2.96 bi­lion sebelum ini, meningkat seba­nyak 5.42 peratus atau RM160.58 juta didorong oleh pertumbuhan kukuh dalam pembiayaan peribadi dan perumahan.

“Jumlah aset kumpulan turut meningkat sebanyak 7.59 peratus kepada RM104.26 bilion berbanding RM96.91 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya. Pertumbuhan ini sejajar dengan pertumbuhan purata dalam industri kewangan,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Bank Rakyat, pula­­­ng­an ke atas aset kekal kukuh pada kadar 1.88 peratus, lebih tinggi daripada kadar purata industri.

Bagi separuh pertama tahun ini, kumpulan telah merekodkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 5.50 peratus bagi pembiayaan kasar daripada RM66.70 bilion kepada RM70.37 bilion, disumbangkan oleh pertumbuhan dalam sektor runcit.

“Pembiayaan runcit mening­kat sebanyak 6.18 peratus kepada RM64.97 bilion berbanding RM61.19 bilion pada tempoh sama tahun lalu,” tambahnya.

Dalam pada itu Bank Rakyat memberitahu, nisbah pembiayaan terjejas kumpulan bagi separuh tahun pertama 2017 dicatatkan pada 1.94 peratus berbanding 2.11 peratus sebelum ini, disebabkan penambahbaikan daripada sektor perbankan perniagaan.

Jelasnya, jumlah deposit kumpulan turut meningkat sebanyak 7.96 peratus atau RM6.06 bilion kepada RM82.19 bilion berban­ding RM76.13 bilion yang direkodkan tempoh sama tahun lalu.